
PORSCHE TAYCAN, SEJENIS PORSCHE YANG LAIN MACAM
Harus diakui suka atau tidak gelombang kereta elektrik (EV) dan elektrifikasi sudah melanda kebanyakan pengeluar kenderaan dunia. Daripada jenama kebanyakan seperti Nissan sehingga Ferrari pun sudah mempunyai model hibrid.
Kami tidak pasti apa respon peminat enjin konvesional apabila jenama yang terkenal dengan deruman enjin dan kenyaringan ekzos bertukar kepada kuasa bateri.
Satu lagi jenama sport yang menyertai gelombang EV ialah Porsche melalui model Taycan.
Model ini masih lagi menjalani program ujian dan gambar dengan pelekat penyamaran sudah tersebar luas di alam maya.
Namun beberapa hari lalu gambar sebenar Taycan tanpa sebarang penyamaran berjaya dirakamkan di jalanan Shanghai, China.
Porsche akhirnya memaklumkan bahawa itu adalah model prototaip Taycan yang sengaja dibawa ke China sempena program Porsche Triple Demo Run.
Selain China, model prototaip Taycan akan dibawa ke dua buah lagi negara iaitu United Kingdom dan Amerika Syarikat yang mana tiga pasaran tersebut adalah penting untuk penjualan Taycan kelak.
Di Shanghai, bumbung Taycan dipamerkan grafik tribut dalam bentuk naga dan dipandu oleh Li Chao, pemandu perlumbaan Piala Porsche Carrera Asia.
Dari segi prestasi, kelajuan maksimum Taycan lebih daripada 250 km/j dan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j kurang daripada 3.5 saat dan terus ke 200 km/j di bawah 12 saat.
Sebelum dilancarkan secara rasmi pada September depan, Taycan akan menjalani ujian dengan jarak enam juta kilometer.
Protokol ujian kereta elektrik ini sama sahaja dengan model sport Porsche lain yang perlu melalui ujian ketat.
Lagi pula ini ialah kereta elektrik dan beberapa aspek tambahan perlu diuji seperti pengecasan bateri, pengawalan suhu pada nadi kuasa dan interior di bawah keadaan ekstrem.
Selepas Shanghai, Taycan dipertontonkan di Festival of Speed Goodwood dan pusingan akhir Kejuaraan Formula E di New York. Pemandu handalan yang terlibat ialah Mark Webber dan Neel Jani, pelumba Formula E.