
MAS 2025: GAC AION V, REKA BENTUK INSPIRASI T-REX, LANCAR TAHUN INI?
GAC Aion V, SUV elektrik generasi kedua dari GAC AION nyata menarik perhatian ramai di Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS Serdang.
Model yang telah dilancarkan di Thailand pada November 2024 itu menampilkan gabungan reka bentuk futuristik, teknologi pintar, dan prestasi luar biasa, sekali gus menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mencari kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi.
Reka bentuk luaran Aion V diinspirasikan oleh dinasour Tyrannosaurus Rex dengan lampu depan LED penuh dan garis badan yang berani. Ia menawarkan ruang kabin kabin luas dengan tempat duduk hadapan boleh dibaringkan sehingga 180 darjah, fungsi urutan, pemanasan dan pengudaraan.

Lebih menarik lagi, terdapat peti sejuk pintar di konsol tengah yang boleh menyejukkan hingga minuman anda -15°C atau memanaskan hingga 50°C.
Aion V dikuasakan oleh motor 100W yang menjana tork mencecah 240Nm. Pecutan 0-100km/j pula boleh dicapai dalam masa hanya 7.9 saat.
Bateri LFP berkapasiti 75.3 kWh pula mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 750km mengikut kitaran CLTC. Dengan teknologi pengecasan pantas 400V+3C, jentera itu boleh memberi jarak pemanduan sejauh 370km dalam masa cuma 15 minit.

Aion V direka dengan fokus pada kelestarian, jadi ia menggunakan bahan ringan dan teknologi bateri canggih untuk mengurangkan penggunaan tenaga kepada 12.8 kWh/100 km.
Dibina di atas platform AEP 3.0, Aion V menampilkan sistem pemanduan pintar ADiGO PILOT yang disokong oleh cip NVIDIA Orin-X dan algoritma AI Gen4. Sistem ini membolehkan navigasi tanpa peta berketepatan tinggi dan menyokong fungsi seperti bantuan pemanduan di lebuh raya dan parkir automatik.
Ciri keselamatan yang ada termasuklah enam beg udara, pemantauan titik buta, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik (AEB) dan kamera 360 darjah.
Selepas pelancaran di Indonesia dan Thailand, Aion V dijangka memasuki pasaran Malaysia menjelang akhir 2025. Anda rasa berapa harga yang sesuai untuk Aion V? Dengar kata bawah RM130,000 seunit, betul ke?
GALERI





