
MG S5 EV RASMI DILANCARKAN DI MAS2025 – HARGA BERMULA RM115K
MG Motor Malaysia telah melancarkan model terbaharunya, MG S5 EV, sempena Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025).
Kenderaan utiliti sukan elektrik ini menyasarkan keseimbangan antara kuasa, kepraktisan dan keselesaan, sesuai bagi gaya hidup urban moden mahupun perjalanan luar bandar yang mencabar.
Digerakkan oleh motor pacuan roda belakang, MG S5 EV menjanjikan pemanduan yang bertenaga dan lincah.

Ia ditawarkan dalam dua pilihan konfigurasi bateri: varian 49kWh yang menyediakan jarak perjalanan sehingga 340km (mengikut piawaian WLTP) dan menghasilkan 170PS serta 250Nm tork melalui motor 125kW.
Untuk pengguna yang menuntut lebih jarak dan keupayaan, MG turut menawarkan versi dengan bateri 62kWh yang mampu membawa anda sejauh 430km dengan satu cas.
Ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW, selain pengecasan AC standard 6.6kW. Tambahan pula, keupayaan Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan kenderaan ini menjadi sumber tenaga mudah alih, manakala sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar menambah nilai kepada pengalaman pengguna.

Bahagian dalaman menampilkan skrin sentuh utama bersaiz 12.8-inci, kluster digital 10.25-inci, dan sistem kawalan suara yang mesra pengguna.
Sistem keselamatan turut diberi perhatian menerusi tujuh beg udara dan senarai lengkap ciri bantuan pemandu (ADAS) bagi meningkatkan perlindungan ketika berada di atas jalan.
Varian dengan bateri besar didatangkan dengan sentuhan premium seperti rim aloi 18-inci, bumbung matahari panoramic, pintu belakang kuasa, dan tempat duduk berbalut kulit berlubang dengan kawalan larasan kuasa dan pemanas stereng.
Ia juga dilengkapi sistem audio enam pembesar suara dan kamera 360 darjah bagi penglihatan menyeluruh.

Ditawarkan dalam lima warna menawan – Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte – MG S5 EV tampil dengan rekaan dalaman gelap bertekstur fabrik dan kulit, sesuai untuk citarasa moden.
Harga jualan bermula sekitar RM115,000. Sepanjang tempoh Malaysia Autoshow 2025 (9 hingga 15 Mei), pelanggan yang membuat tempahan awal dengan bayaran RM500 akan menikmati rebat eksklusif bernilai RM5,000.
Bukan itu sahaja, setiap pembeli awal turut menerima pengecas rumah (wallbox) 7kW secara percuma.
GALERI:








