Buletin

SMART #5 MUNCUL DI MALAYSIA AUTOSHOW 2025

Smart #5 akhirnya diperkenalkan secara rasmi kepada umum di Malaysia Autoshow 2025, menandakan langkah seterusnya oleh Pro-Net dalam memperkukuh barisan kenderaan elektrik (EV) mereka.

Sebagai SUV bersaiz pertengahan, model ini bukan sahaja menonjol kerana saiznya besar, tetapi juga kerana ia merupakan model pertama dari jenama itu yang menggunakan seni bina elektrik berkapasiti 800V.

Dengan ukuran panjang 4,705mm, lebar 1,920mm dan jarak antara roda sejauh 2,900mm, smart #5 menghampiri dimensi SUV popular seperti Tesla Model Y.

Ia juga menawarkan ruang penyimpanan dalaman yang luas, sebanyak 34 ruang semuanya, termasuk frunk berlampu berkapasiti 72 liter dan ruang but yang boleh diperluas sehingga 1,530 liter apabila tempat duduk belakang direbahkan.

Ia turut menampilkan rim Monoblock Z bersaiz 21-inci, kemasan merah khas Brabus, stereng berbalut Alcantara, tempat duduk mikrofiber serta sistem bunyi enjin tiruan bagi meningkatkan keterujaan pemanduan.

Bahagian dalamannya dilengkapi teknologi canggih yang diterajui oleh cip AMD V2000, dengan paparan head-up augmented reality bersaiz 25.6-inci, kluster meter digital 10.25-inci, dan dua skrin OLED 13-inci untuk sistem infotainmen pemandu dan penumpang hadapan.

Varian yang lebih lengkap menampilkan sistem bunyi Sennheiser Signature dengan 20 pembesar suara dan kuasa 1,190W, satu peningkatan besar berbanding sistem audio Beats Audio pada model-model smart sebelumnya.

Model asas, dikenali sebagai smart #5 Pro, hadir dengan motor tunggal berkuasa 250kW (335hp) dan 373Nm tork, membolehkannya mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 6.9 saat.

Ia menggunakan bateri LFP 76kWh berasaskan sistem 400V yang menyokong pengecasan pantas DC 150kW, membolehkan pengecasan 10-80% disiapkan dalam masa sekitar 30 minit. Jarak pemanduan bagi varian ini dianggarkan sekitar 465km (mengikut kitaran WLTP).

Bagi versi Premium, ia menggunakan bateri NMC 100kWh dengan sistem elektrik 800V, menawarkan jarak maksimum sekitar 590km. Ia menyokong pengecasan ultra pantas sehingga 400kW, dan mampu mencapai 80% pengecasan hanya dalam masa 18 minit.

Varian AWD pula menambah motor kedua berkuasa 165kW di gandar hadapan, menjadikan jumlah keseluruhan kuasa kepada 432kW (579hp) dan 643Nm tork, serta pecutan dari 0-100km/j dalam 4.9 saat. Jarak pemanduan pula sekitar 540km.

Namun bagi penggemar prestasi, varian Brabus bakal mencuri tumpuan. Dengan gabungan kuasa 475kW (637hp) dan tork 710Nm, SUV ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat.

Dari segi harga, di pasaran China, model asas dijual pada sekitar CNY239,900 (anggaran RM138,500), manakala varian tertinggi Brabus dijual pada CNY329,900 (lebih kurang RM190,500).

GALERI:

Google ads
Back to top button