
CAT BAMPAR DAN BADAN KERETA TAK SAMA DAN BERBELANG? INI SEBABNYA!!!
Sekiranya anda baru membeli kereta baru, mungkin anda tidak perasan berkenaan dengan kualiti cat kereta melainkan ia terlalu teruk. Namun selepas beberapa bulan membelek kereta baru anda dari setiap sudut, barulah anda perasan yang ada yang tidak kena berkenaan dengan cat kereta anda
Ia bukanlah satu isu yang serius melainkan terdapat satu perbezaan yang cukup jelas di mata anda, iaitu warna cat pada badan kereta tidak sama dengan warna cat pada bampar. Ia bukanlah terlalu ketara, namun dibawah sinaran matahari dan pada sudut tertentu, perbezaan warna ini boleh dilihat dengan jelas
Jadi apakah sebab perbezaan warna ini berlaku? Adakah kereta anda dicat oleh kuda belang? Kami cuba rungkaikan semua faktor yang terlibat sehingga menyebabkan fenomena ini berlaku
1. Perbezaan bahan -badan kereta dihasilkan daripada campuran aloi logam manakala bampar pula dihasilkan daripada campuran plastik. Cat akan melekat dan memantulkan secara berbeza antara kedua dua bahan ini sehingga menyebabkan warna pantulan yang berbeza walaupun menggunakan kod warna yang sama
Malah masa untuk kering (drying time) antara permukaan cat dan permukaan logam juga berbeza dan memberikan kesan warna yang berbeza apabila cat telah jering
2. Proses yang berbeza – untuk sesetengah pengeluar automotif, badan utama kenderaan dicat secara dalaman (in-house) dengan menggunakan lengan robotik secara automasi. Keadaan ini menghasilkan kemasan cat yang berkualiti tinggi dan konsisten
Bagi komponen bampar, kemungkinan besar ia dicat secara manual oleh pihak vendor dengan menggunakan tenaga manusia. Keadaan ini mungkin mempengaruhi kualiti cat pada bahagian bampar
3. Keadaan permukaan bampar dan pantulan cahaya – seperti yang kami sebut di atas, bampar dihasilkan daripada plastik manakala badan kenderaan dihasilkan daripada kepingan aloi. Plastik dalam sesetengah keadaan permukaannya adalah melendut dan menyebabkan sinaran cahaya yang melaluinya menjadi herot
Berbanding dengan permukaan logam yang lebih keras dan rata, fenomena ini akan menyebabkan ilusi optik yang menghasilkan warna yang berbeza sedangkan ia tidak berlaku
4. Faktor masa – apabila terdedah kepada elemen alam sekitar seperti terdedah pada cahaya matahari terik, hujan lebat, hujan asid, dan juga sinaran UV, permukaan cat pada bampar akan lebih cepat terkakis berbanding dengan permukaan cat pada permukaan logam
Keadaan ini menyebabkan permukaan cat menjadi pudar, keputihan dan akhirnya menyebabkan perbezaan warna antara permukaan badan kereta dan juga permukaan bampar
5. Campuran cat mungkin tidak sama – walaupun cat dihasilkan dengan kaedah sama, namun setiap batch atau kumpulan yang dihasilkan mungkin tidak dapat dihasilkan sama antara batach yang sebelum atau selepasnya. Anda kena ingat setiap cat dihasilkan dengan campuran 3 warna asas primer diikuti dengan warna-warna lain dalam ratio tertentu
Malah cat yang istimewa seperti cat yang menghasilkan kesan mutiara (pearl) lebih sensitif dengan teknik semburan dan memberikan kesan akhir yang berbeza pada permukaan yang dicat