Buletin

AUDI Q7 CKD RASMI DILANCARKAN. GAYAAN S LINE, ENJIN TFSI 3L V6, 340PS/500NM, BERMULA RM460K

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) mencipta sejarah apabila melancarkan SUV Audi pemasangan tempatan yang pertama, Q7 S line.

Ditawarkan pada harga bermula RM459,990, SUV Audi Q7 S line 7-tempat duduk mengukuhkan lagi kehadiran Audi dalam segmen mewah premium di Malaysia dan di rantau ini. SUV CKD pertama Audi di Asia Tenggara tersebut dilancarkan pada acara Malaysia AutoShow 2025 yang berlangsung di MAEPS Serdang.

SUV flagship ini menampilkan reka bentuk atletik menerusi garis-garis badan yang berani serta trim S line yang menyerlahkan lagi penampilan luaran dan dalamannya. Turut didatangkan secara standard ialah Black Styling Package Plus yang memberi sentuhan garang pada gaya luaran Audi Q7.

Reka bentuk luaran Q7 tampil bergaya melalui gayaan S line, melibatkan bampar hadapan dan belakang unik bersama skirting sisi yang menyerlahkan karakternya yang sporty. Dengan Black Styling Package Plus, penampilan atletik Q7 dipertingkatkan melalui rekaan gril Audi Singleframe berwarna hitam dan lencana model Q7. 

Ada empat pilihan warna luaran ditawarkan – Glacier White (putih), Waitomo Blue (biru) dan Mythos Black (hitam) sebagai warna metalik, serta Daytona Grey (krlabu) dengan efek mutiara.

Q7 dikuasakan oleh enjin petrol 3.0-liter TFSI V6 yang mampu menjana 250kW/340PS dan tork setinggi 500Nm. Sistem mild-hybrid 48V pula

meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan emisi sambil memberikan permulaan perjalanan yang lebih lancar dan pantas, di samping pemanduan meluncur tanpa gangguan sehingga 160km/j. 

Dari keadaan pegun, Q7 mampu memecut ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250km/j. Kuasa disalurkan melalui transmisi Tiptronic 8-kelajuan dengan pengagihan pintar ke keempat- empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro.

Menerusi ciri Audi Drive Select, pemandu boleh memilih sehingga tujuh mod pemanduan berbeza untuk disesuaikan kepada pelbagai jenis permukaan jalan dan keadaan pemanduan secara optimum. Bergantung kepada mod yang dipilih (melalui skrin sentuh MMI), Drive Select akan mengubah suai pelbagai aspek seperti maklum balas pendikit, tahap redaman suspensi dan stereng.

Suspensi Udara Adaptif Sport Audi pula akan ditala atau diubah suai secara pintar mengikut gaya pemanduan. Ini sekaligus dapat memberi pengalaman pemanduan yang lancar, stabil dan cukup dinamik bersama keseimbangan sempurna di antara keselesaan dan kawalan dalam apa jua tetapan. 

Di laluan tidak rata, ketinggian kenderaan boleh dinaikkan sehingga 60mm (daripada tahap ketinggian biasa), manakala untuk pemanduan di lebuh raya, ia boleh direndahkan sebanyak 30 mm bagi meningkatkan aerodinamik dan kestabilan.

Audi Virtual Cockpit Plus menghidupkan pengalaman pemanduan dengan paparan yang boleh diubah suai seperti mod dynamic, sport dan classic. Nikmati sistem navigasi, media dan maklumat pemanduan dengan lancar menerusi skrin bersaiz 12.3 inci yang menawan, bersama kawalan intuitif di hujung jari anda.

Q7 turut hadir dengan paparan head-up (HUD) sebagai ciri standard yang memaparkan maklumat penting (seperti kelajuan, mod bantuan pemandu dan arah navigasi) terus pada cermin utama di hadapan pemandu.

Sistem Bunyi Premium 3D Bang & Olufsen yang mengagumkan itu menjanjikan pengalaman audio 3D sebenar yang tiada tandingan melalui 19-unit pembesar suara yang ditempatkan secara strategik di seluruh kabin. Output audio dipertingkatkan dengan unit amplifier 16 saluran berkuasa 730 watt.

Dengan Audi Connect, Q7 anda sentiasa berada dalam jangkauan. Cari lokasi kenderaan, kunci atau buka kunci, menyemak status dan terima amaran kecurian — semuanya melalui telefon pintar anda. Nikmati laluan yang lebih pintar dengan trafik masa sebenar dan peta satelit

Google, jika berlaku kemalangan serius, kenderaan akan terus menghubungi Audi Emergency Call secara automatik untuk mendapatkan bantuan.

Q7 memastikan anda sentiasa terhubung dengan ciri pengecasan tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang lancar — tanpa kabel, hanya akses pantas kepada muzik, peta serta aplikasi anda untuk pengalaman pemanduan yang lebih pintar dan lancar.

Dengan panjang keseluruhan yang terbaik dalam kelasnya, Audi Q7 menawarkan ruang kabin yang boleh memuatkan sehingga 7 orang penumpang dengan selesa.

Sentuhan S line di bahagian dalaman Q7 melibatkan tempat duduk Sports Seat Plus yang dibalut kulit Valcona bersama lencana S timbul pada dua tempat duduk hadapan, selain stereng kulit yang dilengkapi ciri paddle shifters.

Audi Q7 baharu didatangkan dengan jaminan pengeluar selama 2 tahun tanpa had perbatuan. Dengan bayaran tambahan sebanyak RM20,000, pelanggan boleh memilih Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menambah perlindungan jaminan pengeluar selama 3 tahun lagi (jumlah keseluruhan 5 tahun) atau sehingga 150,000km (mana-mana tiba dahulu). 

AAP turut merangkumi servis penyelenggaraan selama 5 tahun/75,000 km (mana-mana tiba dahulu) serta bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.

Google ads
Back to top button