Buletin

MAZDA TANGGUH PENGENALAN MODEL MX-30 DENGAN ENJIN ROTARY RANGE EXTENDER

Mazda sebelum ini pernah beberapa kali berjanji bahawa enjin rotari akan kembali dalam bentuk penambah jarak (range extender) untuk model-model baharunya. Namun rancangan itu nampaknya terpaksa ditangguhkan. 

Pengeluar kenderaan Jepun tersebut merancang untuk melancarkan model MX-30 dengan enjin rotari pada pertengahan tahun 2022 untuk pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

Tetapi, media Jepun melaporkan Mazda terpaksa menimbang kembali keputusan itu kerana enjin itu memerlukan pek bateri lebih besar, sekali gus menjadikan harga SUV itu sangat mahal.

Buat masa sekarang, MX-30 yang dijual di Eropah dan Jepun dilengkapi pek bateri lithium-ion berkapasiti 35.5kWh yang hanya mampu menawarkan jarak sejauh 200km. Satu lagi varian pula dipasang dengan sistem mild hybrid. Penggunaan enjin rotari sebagai penambah jarak membolehkan jentera itu bergerak lebih jauh dan membuatkannya lebih praktikal. 

Jurucakap Mazda, Masahiro Sakata memberitahu pihaknya akan menggunakan enjin rotari sebagai penambah jarak pada masa depan. 

“Kami masih menimbang untuk menggunakan enjin rotari, tetapi bila ia akan diperkenalkan belum dapat dipastikan,” katanya. 

Google ads
Back to top button