Artikel Pilihan

MASA DEPAN ENJIN ROTARY MAZDA, NAMPAK CERAH

Akta kawalan pencemaran udara dan penggunaan petrol yang cekap adalah 2 faktor utama yang menyebabkan enjin rotary Mazda terpaksa dihentikan pengeluaran pada tahun 2012. Tambahan pula dalam keadaan operasi normal, enjin ini memerlukan penggunaan minyak enjin untuk dibakar di dalam perumah motor bagi memastikan apex seal berfungsi dengan sempurna

Apabila enjin rotary Renesis diperkenalkan, ia menghadkan pembakaran minyak enjin bagi mengurangkan pencemaran udara. Namun kesannya ialah enjin ini hanya mampu bertahan sekitar 100,000km sahaja sebelum proses baik pulih dilakukan. Sesetengah penganjur perlumbaan mengharamkan penggunaan enjin rotary di dalam perlumbaan disebabkan kelebihan enjin ini.

Nampak malap sahaja masa depan enjin rotary Mazda ni. Mazda pula menafikan sebarang perkembangan dan kajian lanjut mereka dalam teknologi enjin rotary ini. Sehinggalah baru-baru ini Mazda memperkenalkan sebuah crossover berkuasa elektrik iaitu Mazda MX-30.

Walaupun Mazda pernah menyebut bahawa mereka tidak akan membangunkan kereta elektrik, namun permintaan terhadap kereta berkuasa elektrik menyebabkan mereka mengalah. Ini disebabkan prinsip dan kajian Mazda dalam konsep well to wheel mendapati penggunaan enjin berkuasa petrol lebih cekap dari sistem kereta elektrik.

Disebabkan konsep ini, Mazda menghadkan jarak pemanduan kereta MX-30 hanya kepada 209km sahaja. Pada pandangan Mazda jika bateri dibuat lebih besar bagi menampung jarak perjalanan melebihi 209km, maka pencemaran yang dihasilkan oleh pihak industri dalam mengekstrak logam nadir, menghasilkan bateri dan mengecas jauh lebih teruk berbanding dengan enjin 1800cc turbodisel mereka.

Jadi untuk bergerak lebih jauh, Mazda akan memperkenalkan versi range extender ataupun sebuah janakuasa enjin pembakaran dalam yang bertindak mengecas bateri tersebut bagi mendapatkan jarak yang lebih jauh melebihi 209km. Jadi besar kemungkinan enjin rotary akan dijadikan unit hibrid pada crossiver MX-30 dalam sedikit masa lagi.

Untuk memahami konsep hibrid anda boleh baca artikel berkenaan teknologi hibrid di SINI. Jadi kami akan huraikan beberapa sebab yang logik dari sudut kejuruteraan mengapa enjin rotary ini sesuai untuk dijadikan sebagai unit range extender pada crossover elektrik MX-30. Antaranya ialah:

1. Mazda telahpun memajukan teknologi enjin pembakaran dalam yang cekap tenaga yang dikenali dengan nama Mazda SkyActiv-X. Ia membenarkan Mazda meningkatkan kecekapan enjin dengan meninggikan nisbah mampatan enjin sehingga 16:1. Bagi meningkatkan kecekapan enjin rotary, apa yang Mazda perlu buat ialah pindahkan teknologi tersebut daripada enjin piston kepada enjin rotary

Dan kami percaya iatulah arah tuju teknologi enjin rotary yang bakal digunakan nanti. Dengan mengaplikasikan teknologi SkyActiv-X pada enjin rotary, ia akan meningkatkan kecekapan enjin supaya setara dengan kitaran enjin disel.

2. Enjin rotary ini sebenarnya kurang komponen dan sifat fizikalnya yang kompak membolehkan ia mudah dipakejkan dalam sistem trenkuasa elektrik. Apabila kita bercakap berkenaan teknologi kereta elektrik, salah satu perkara yang menjadi halangan ialah berat bateri itu sendiri. Apabila kita mengambil kira faktor enjin yang akan digabungkan supaya menjadi range-extender pada kereta elektrik, sistem akan menjadi lebih berat.

Pada pandangan penulis, walaupun hanya dengan menggunakan sistem satu rotor sahaja dengan kapasiti enjin 650cc (bersamaan dengan nilai 1300cc bagi enjin piston) ia sudah cukup berkuasa dan pada masa yang sama cukup ringkas, ringan dan kompak untuk digunakan berbanding dengan enjin piston.

3. Pada hemat penulis, jika digunakan sebagai range-extender unit enjin rotary ini bukanlah bertindak dengan input daripada pemandu. Sebaliknya ia akan dipasang secara bersiri dengan tujuan mengecas bateri. ia akan dihidupkan dan dimatikan secara automatik bagi tujuan pengecasan.

Jadi jurutera dapat merekabentuk supaya enjin ini berfungsi pada halaju yang optimum bagi tujuan penjimatan bahan api dan pengurangan pencemaran asap. Apabila direka sedemikian, enjin ini hanya akan beroperasi pada satu julat operasi sahaja yang tidak boleh dikawal oleh pemandu. Katakanlah julat operasi optimumnya ialah 2000RPM, maka enjin ini akan berputar 2000RPM bagi mengecas bateri.

4. Ketua R&D Mazda Ichiro Hirose berkata” Enjin rotary sebenarnya cukup fleksibel untuk teknologi elektrifikasi. Ia kompak, ringan dan juga memiliki NVH yang bagus. Jika digunakan pada pelbagai aplikasi, kos pembangunan enjin rotary bagi kegunaan kereta sport akan dikurangkan dengan drastik”.

Mazda juga telah mencadangkan beberapa perubahan spesifikasi pada enjin rotary terbaru mereka agar ia cukup fleksible untuk menggunakan apa sahaja bahan bakar yang berasaskan hidrokarbon termasuklah gas LPG dan juga hidrogen. Dari segi NVH, ia cukup senyap untuk digandingkan dengan trenkuasa elektrik.

Tags
Google ads
Back to top button