
KEJOHANAN GOLF AMAL MAZDA KUMPUL DANA BANTU KOMUNITI
Bermaz Motor meneruskan komitmen terhadap kebajikan masyarakat menerusi penganjuran Kejohanan Golf Amal Mazda edisi ke-12 yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club pada 9 dan 10 Oktober lalu.
Program selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta merangkumi rakan niaga, wakil kerajaan, pelanggan Mazda dan peminat golf bagi mengumpul dana untuk Mazda Medicare Fund (MMF), sebuah inisiatif kebajikan yang menyediakan bantuan perubatan serta sokongan kemanusiaan kepada golongan memerlukan di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Dato Sri Ben Yeoh, berkata kejohanan berkenaan bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membantu golongan kurang bernasib baik.

Majlis makan tengah hari amal pada 10 Oktober lalu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang juga Penaung Diraja MMF sejak 2015.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato Mohamad Nizar Mohamad Najib; serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Pada majlis berkenaan, wakil lima organisasi penerima manfaat menerima cek replika sebagai simbol penyaluran bantuan bagi menyokong operasi dan usaha kebajikan masing-masing.
Organisasi terbabit ialah Mount Miriam Cancer Hospital, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim dan Cacat Perlindungan Selangor, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian, Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Sijangkang serta Yayasan Al-Sultan Abdullah.

Bantuan itu meliputi pelbagai keperluan, termasuk rawatan pesakit kanser, kebajikan kanak-kanak yatim dan sokongan kepada golongan rentan yang memerlukan perlindungan serta penjagaan berterusan.
MMF ditubuhkan pada 2015 menerusi kerjasama Prima Merdu Sdn Bhd dan B. Braun Avitum Renal Services dengan matlamat menyediakan rawatan hemodialisis bersubsidi kepada pesakit penyakit buah pinggang peringkat akhir yang berdepan kekangan kewangan.
Seiring perkembangan operasinya, dana berkenaan turut memperluas bantuan kepada rumah kebajikan warga emas, rumah anak yatim, pusat penjagaan orang kurang upaya serta institusi yang menempatkan kanak-kanak berkeperluan khas.
Bagi memastikan bantuan disalurkan secara berkesan, setiap organisasi penerima dinilai berdasarkan keperluan dan impak kebajikan yang dapat diberikan kepada masyarakat.
Selain kejohanan golf tahunan, Bermaz Motor turut memperkukuh usaha mengumpul sumbangan menerusi Mazda Privilege Card (MPC) yang diperkenalkan pada 2018.
Kad tersebut ditawarkan dengan yuran pendaftaran sekali sahaja sebanyak RM100, yang disalurkan sepenuhnya kepada MMF.
Pemegang kad juga menikmati diskaun 15 peratus bagi alat ganti tulen Mazda terpilih serta potongan lima peratus untuk caj buruh di bilik pameran dan pusat servis Mazda kendalian Bermaz Motor serta Prima Merdu di seluruh negara.
Kejohanan edisi ke-12 itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana acara sukan dapat dimanfaatkan sebagai medium kebajikan, sekali gus meneruskan usaha Bermaz Motor membantu komuniti melalui MMF.







