
3 GEN MAZDA RX-7 FB, FC, FD DENGAN ENJIN ROTARY IKONIK
Sebelum ini kami bawakan bagaimana model legenda RX-7 dilahirkan selepas Mazda hampir menamatkan penawaran enjin rotary dek kerana harga minyak yang melambung tinggi
Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Mazda, Kenichi Yamamoto berkeras dan berhujah betapa pentingnya enjin rotary dalam menjadikan Mazda sebagai syarikat yang berbeza.
Beliau yang mengetuai pasukan jurutera dalam membangunkan enjin rotary pertama Mazda pada 60an merancang untuk merombak semula enjin 12A dan memperbaiki tahap penggunaan minyak.
Hasilnya ialah RX-7, sebuah kereta sport dengan karakter khusus untuk enjin rotary baharu.
Generasi pertama RX-7 menggunakan platform FB dan mula dijual di Jepun pada 1978 dan di Eropah pada tahun berikutnya dan merupakan model yang pantas mendapat perhatian.
Berat RX-7 FB hanya lebih sedikit dari satu tan dan digabungkan dengan enjin 12A berkuasa 100-135PS.
Enjin itu dipasang ditengah atau di belakang axle depan yang memacu roda belakang.
Bentangan tersebut memberikan pembahagian berat yang hampir sempurna dan menyumbang kepada pengendalian cemerlang.
Ciri aerodinamik pula menjadikan RX-7 FB seronok untuk dipandu dan memberikan hubungan istimewa di antara kereta dan pemandu.
Enjin 12A kemudian diserikan dengan versi turbo 160PS untuk pasaran Jepun.
Pasaran Amerika Syarikat menerima enjin 13B dengan saiz yang sedikit diperbesarkan dan mempunyai sistem suntikan bahan api.
Generasi kedua RX-7 dikenali sebagai FC dan diperkenalkan pada 1985 dengan reka bentuk yang diinspirasi dari Porsche.
RX-7 FC menerima beberapa naik taraf seperti DTSS (Dynamic Tracking Suspension System) dan pengecas turbo.
Penggunaan kuasa pendesak sangat serasi dengan enjin rotary hasil dari karakteristik aliran ekzos dan berkesan dalam menjana (boosting) tujahan pada lingkungan pertengahan (mid-range).
Enjin 1.3L 13B digunakan secara standard untuk kesemua pasaran. Di Eropah pula ada beberapa versi lain seperti enjin aspirasi normal berkuasa 150PS, 180PS dan kemudian 200PS dengan turbo twin-scroll.
Model berprestasi itu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa enam saat dengan kelajuan maksimum 240 km/j.
RX-7 generasi ketiga dan terakhir dikenali sebagai FD dan menemui pasaran pada 1992.
Enjin terkini 13B lebih berprestasi dengan pengecas turbo berkembar sequential dan mempunyai kuasa 239PS untuk versi Eropah.
RX-7 FD dikatakan peminat sebagai model yang mempunyai pengendalian terbaik berbanding generasi sebelum.
Pecutan 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 5.3 saat dan kelajuan maksimum dihadkan pada 250 km/j.
Dengan prestasi tersebut dan berat 1,300kg, RX-7 FD berada di dalam liga kereta sport lebih premium.
Bagaimanapun, menjelang tahun 1996 jualan RX-7 FD di kebanyakan negara di Eropah dihentikan disebabkan peraturan emisi.
Mazda tetap mengeluarkan RX-7 FD untuk pasaran lain dan berakhir di Jepun dengan kuasa ditingkatkan kepada 280PS (Spirit R dll).
2002 adalah tahun terakhir siri kereta sport ikonik ini berada di pasaran.
Dari 1978 hingga 2002 sebanyak 811,634 unit RX-7 dikeluarkan dan merupakan model rotary paling banyak terjual di dalam sejarah.
Legasi RX-7 kemudian diteruskan dengan RX-8 pada tahun 2003 dan Mazda turut membuka lembaran baharu dalam sejarah teknologinya.
Kita tidak lagi disajikan dengan teknologi rotary dalam kereta sport seperti RX-7, tetapi Mazda menghidangkan teknologi SkyActiv, reka bentuk Kodo dan Jinba-Ittai kepada dunia.
- BACA: MAZDA RX-7, ENJIN ROTARY KERETA IKONIK!
- BACA: PADA 2006 MAZDA8 DIPERKENAL DI JEPUN, DI MALAYSIA PADA 2008
- BACA: MAZDA3 TCR, 2.0L TURBO 350 BHP!