Artikel Pilihan

MENOLAK 5 MITOS TENTANG KERETA YANG BIASA KITA DENGAR

Dalam dunia automobil ni sebenarnya sama dengan kehidupan kita sehari-hari, ada yang benar dan ada yang nampak macam benar sebab sudah diulang berkali-kali sejak puluhan tahun dulu. Padahal fakta yang sebenar adalah sebaliknya. Okey kita tengok beberapa fakta yang dah lama diketahui tetapi rupanya tidak berapa betul.

1. Ford Model T cuma ditawarkan dengan warna hitam
Pernah dengar cerita ini tentang Ford Model T? Ia merupakan kereta pertama di dunia dipasarkan secara besar-besaran oleh Ford Motor Company. Dikatakan kereta ini cuma dikeluarkan dalam satu warna sahaja iaitu hitam. Sehingga dikatakan Henry Ford pernah berkata “Anda boleh memilih semua warna yang ada asalkan ia warna hitam”.

Sebenarnya ia mempunyai pilihan warna ala varnis dan dinamakan antaranya Channel Green dan Winsor Maroon. Masalahnya ialah warna-warna ini kelihatan terlalu gelap dan ia tetap kelihatan seperti hitam dari jauh. Jadi bukan semuanya berwarna hitam tetapi ia memang nampak hitam jika dilihat dari jauh.

2. Minyak enjin mesti ditukar setiap 5,000 kilometer
Okey yang ini sebenarnya ada kebenarannya tetapi ia juga mempunyai maksud yang lain. Sebab yang pertama semestinya untuk melindungi waranti yang ditetapkan pengeluar. Sebab yang kedua yang tidak tertulis pula ialah untuk mengingatkan golongan pemandu dan pemilik yang pemalas agar tidak lupa menyelenggara kereta dan kemudiannya terhegeh-hegeh ke bengkel bila kereta sudah nyawa-nyawa ikan.

Sudah berdekad lamanya tempoh yang dipersetujui pengeluar ialah 5,000 kilometer ataupun 3 bulan sekali mana terdahulu. Jika minyak enjin ditukar mengikut jadual, segala enapan akan mengalir keluar sewaktu minyak enjin ditukar tetapi sebaliknya jika digunakan terlalu lama ia akan membentuk mendapat seperti gris dan karbon yang mampu menjejaskan prestasi enjin anda.

Enjin moden bagaimanapun telah menjadi semakin bersih begitu juga dengan teknologi pelinciran sehingga tempoh pertukaran boleh dipanjangkan kepada 8,000 ataupun 10,000 kilometer bergantung kepada pengeluar. Lain kali jangan malas sangat, tahu isi petrol dengan pam angin tayar je mana cukup bang. (Tapi kalau masih dalam waranti tu ikut je lah cadangan pengeluar, jangan nanti waranti tu terbatal).

3. Bukan semua kereta lama akan bernilai tinggi
Ada di antara kita meminati kereta-lama lama seperti Pak Amid (mungkin atas faktor penuaan). Hari-hari tengok iklan kereta kot-kot ada kereta menarik untuk dijual. Namun satu perkara yang pasti bukan semua kereta akan mencapai taraf klasik ataupun vintaj dan boleh dijual kembali dengan harga yang lumayan. Ada kereta yang kita tak pandang sangat dulu tetapi masih mengekalkan harga atas faktor-faktor tertentu seperti Proton Arena. Ada juga kereta yang cantik, menarik, bergaya tetapi harganya kini membuatkan anda menangis seperti Proton Tiara (Jenama lain pun sama, ini cuma contoh untuk rujukan).

4. Minyak pelincir sintetik mudah bocor?
Idea tentang minyak pelincir sintetik menyebabkan enjin bocor biasa datang daripada pemilik yang menggunakan pelincir sintetik untuk enjin-enjin lama. Enjin-enjin lama yang tidak diselenggara dengan sempurna biasanya berkeladak dengan lelehan minyak pelincir yang beku dan berkerak di bahagian luar. Kerak-kerak inilah biasanya yang menghalang pelincir dari bocor keluar.

Bila minyak pelincir sintetik digunakan, struktur molekul pelincir sintetik akan bertindak membersihkan kotoran dan pada masa yang sama menguraikan keladak-keladak lama yang tadinya bertindak seperti pelekat yang menghalang pelincir keluar (biasanya akibat kebocoran gasket dan sebagainya). Hasilnya nampaklah enjin tadi macam bocor akibat menggunakan pelincir sintetik.

Sebenarnya jika anda membeli kereta baharu ataupun terpakai dengan enjin yang dijaga rapi, tiada salahnya menggunakan pelincir sintetik kerana ia akan memelihara dan memanjangkan usia enjin anda.

5. Kereta dibiarkan kotor untuk menjimatkan wang
Mitos terakhir ni kami dapat daripada seorang rakan yang berkata beliau membiarkan kereta dalam keadaan kotor untuk menjimatkan wang. Daripada menghabiskan RM15 untuk mencuci kereta ada baiknya ia digunakan untuk mengisi petrol katanya.

Malangnya ia tidak benar kereta ujian yang dilakukan oleh Mythbusters membuktikan yang kereta yang kotor akan meningkatkan geseran dalam udara seperti lubang-lubang halus pada bola golf. Hasil ujian yang mereka jalankan juga mendapati tahap ekonomi bahan api berkurangan sebanyak 10 peratus jika kereta anda dalam keadaan kotor.

Okey, cepat semua pergi basuh kereta dan polish siap-siap. Lagi pun biasanya tak ada guna pakai kereta hebat, muka hensem kalau kereta berdaki. Silap-silap bakal bapa mertua pun halau balik.

 

Google ads
Back to top button