Buletin

MINI REMASTERED, OSELI EDITION – RM508 RIBU!

Pada tahun 2017 kami pernah memaparkan berita tentang Mini Remastered yang dikeluarkan oleh David Brown Automotive. Syarikat dari United Kingdom ini pakar dalam menghasilkan semula kereta klasik dengan teknologi moden.

David Brown Automotive kembali lagi dengan masterpiece baharu, kali ini Mini Remastered, Oselli Edition yang dikeluarkan dalam 60 unit terhad sempena ulangtahun pelancaran Mini pada tahun 1959.

Oselli yang ditubuhkan pada awal 60an adalah pakar dalam kereta klasik berprestasi dan model ini dibina sempena kerjasama kedua-dua syarikat tersebut.

Mini yang diperbaharui ini menggunakan enjin yang dibangunkan oleh Oselli dengan penalaan baharu untuk kuasa lebih tinggi. Sesaran enjin ialah 1,420cc dengan talaan Tahap 3 dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan.

Enjin ini mempunyai kuasa 100 bhp dan 40 peratus lebih tinggi berbanding enjin asal siri A. Di antara perubahan yang dibuat ialah sistem ekzos dan kemasukan udara. 

Selain enjin, casis ditingkatkan dengan suspensi SPAX manakala brek depan ditukar kepada jenis empat omboh dan cakera lebih besar. Brek gelendong belakang pula jenis aluminium.

Roda juga baharu dari jenama Enkei berukuran 7j x 13 inci dalam warna emas atau perak. 

Untuk warna, pelanggan diberikan pilihan off-white atau kelabu gelap dan grafik tepi dalam warna Crimson, Royal Blue atau Racing Green.

Pada bahagian depan dipasangkan lampu limpah yang rata dengan gril dan sepasang lampu kabus LED pada kiri dan kanan kereta.

Pada bahagian dalam, pelanggan ditawarkan pilihan dua kerusi dengan rangka keselamatan atau tempat duduk penuh empat kerusi.

BACA: MINI CONVERTIBLE SEMPENA ULANG TAHUN KE-60 MINI – 20 UNIT SAHAJA, RM279,888

Model dua kerusi bucket didatangkan dengan tali pinggang keledar empat poin Sabelt dan pelanggan juga boleh memilih tali pinggang keledar standard untuk pemanduan harian. Stereng pula dibalut dengan material Sabalt Alacantara .

Sebagai tambahan, pengguna ditawarkan dengan pilihan suit perlumbaan dan topi keledar yang sepadan.

Tempahan untuk Mini Remastered, Oselli Edition telah pun dibuka dan penghantaran pertama dijadualkan pada tahun depan.

Berapakah harga model klasik yang diperbaharui ini? Model empat kerusi bermula dari £98,000.00 (RM510,888) manakala model dua kerusi dengan rangka keselamatan dari £108,000.00 (RM563,020), kedua-duanya belum termasuk cukai. 

Tags
Google ads
Back to top button