
MINI JCW TRACK DAY 2025: PERKENAL BARISAN JCW TERBAHARU, RAIKAN LEGASI PRESTASI
MINI Malaysia sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju automotif premium kompak dengan menganjurkan MINI John Cooper Works (JCW) Track Day 2025.
Berlangsung di Gamuda Cove, acara ini bukan sekadar pameran model baharu, tetapi satu pengalaman pemanduan penuh intensiti yang meraikan legasi ikonik JCW.
Bersandarkan warisan perlumbaan yang bermula di pentas rali Monte Carlo era 60-an, barisan terkini model MINI JCW bukan sahaja mengekalkan roh asal pengendalian go-kart, malah membawa semangat itu ke tahap baharu, dalam bentuk petrol dan juga elektrik.
Menurut Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, acara ini dirancang untuk menyuntik semangat keterujaan dalam kalangan peminat tegar MINI. “Melalui MINI JCW Track Day, kami menyampaikan pengalaman sebenar prestasi MINI, dari kuasa pecutan hingga pengendalian tajam, semuanya direka untuk mereka yang cintakan pemanduan,” ujarnya.

Barisan baharu MINI JCW tampil dengan tiga model utama iaitu MINI JCW baharu, JCW Aceman Serba Elektrik, dan JCW Serba Elektrik.
Model crossover JCW Aceman menyerlah dengan reka bentuk kontemporari dan prestasi cekap, manakala JCW Serba Elektrik menampilkan tork serta-merta dan responsiviti yang mengujakan.
Tidak ketinggalan, MINI JCW Countryman ALL4, model terbesar dan paling berkuasa dalam keluarga ini, tampil sebagai simbol keteguhan dan kawalan total dengan sistem pacuan semua roda.
Dua Zon Prestasi, Satu Matlamat: Kepuasan Maksimum

MINI JCW Track Day 2025 membawakan dua laluan pemanduan berbeza. Pertama, Zon Pemanduan JCW sepanjang 3.4km yang direka untuk menguji had keupayaan kenderaan dari aspek pecutan dan pengendalian.
Sementara itu, Zon Litar MINI JCW, diinspirasikan daripada litar legenda Kartdromo Parma di Itali, mencabar peserta dengan selekoh teknikal yang menuntut ketepatan, kawalan serta kecekapan membrek maksimum.
Acara ini turut mempamerkan model MINI lain termasuk MINI Cooper Serba Elektrik, MINI Cooper 5-Pintu, MINI Convertible Baharu serta MINI Aceman Edisi Khas Track Edition dan Slick Edition, masing-masing lengkap dengan jalur grafik khas dan penutup hab terapung ikonik.
Para tetamu juga berpeluang memandu uji model-model ini, termasuk MINI Countryman dan Aceman Serba Elektrik.

Bukan hanya tentang kereta, MINI membawa pengalaman holistik gaya hidup. Dari sesi karaoke dalam kereta, persembahan DJ menggunakan sistem audio MINI, hingga kepada booth foto AI yang membolehkan pengunjung ‘berpakaian’ seperti pelumba profesional, semuanya dicipta untuk menyemarakkan keterlibatan peminat.
Promosi Eksklusif dan Warna Baharu ‘Blazing Blue’
Seiring acara ini, MINI Malaysia turut menawarkan promosi khas sehingga 30 Jun 2025. Antara tawaran menarik termasuk servis percuma 10 tahun untuk model terpilih, subsidi insurans hingga RM3,000, dan jaminan lanjutan 4 tahun untuk pembeli MINI Aceman SE dan MINI Countryman SE. Pelanggan juga bakal menerima MINI Wallbox percuma, rebat tunai sehingga RM15,000 menerusi pembiayaan Easy Drive, serta kadar faedah rendah serendah 0.88% bagi model terpilih.
Satu lagi kemuncak ialah pengenalan warna eksklusif baharu iaitu Blazing Blue, yang memadukan ketenangan langit dengan semangat pengembaraan MINI.
Pembeli MINI Countryman dalam warna ini akan menerima bagasi edisi khas atau loket MINI Diamond sebagai hadiah eksklusif.
Pemilik MINI Cooper SE Generasi F56 juga tidak dilupakan. Mereka akan menikmati ganjaran kesetiaan bernilai RM8,888 apabila menaik taraf kepada MINI Aceman SE Baharu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi pengedar MINI berhampiran atau melayari laman web rasmi MINI Malaysia. Peluang eksklusif ini hanya ditawarkan untuk tempoh terhad.