Artikel Pilihan

MINI ONE-OFF TERBARU UNTUK SIMON COWELL – INSPIRASI JAMES BOND

Kalau dah banyak duit macam-macam yang kita boleh buat. Antaranya ialah mendapatkan kereta-kereta rare atau limited edition ataupun tempah sahaja kereta one-off yang cuma ada seunit atas dunia ni. Kenapa tak beli rumah di Serian ataupun dapatkan sebuah pesawat pejuang ataupun berkahwin dengan ratu cantik Kodiang yang menjadi dambaan ramai jejaka di luar sana? Sebab ini laman web automotif bukannya web kerapu kukus okey.

Topik utama kita hari ini berkisar kepada Simon Cowell, juri American Idol yang terkenal dan kereta terbaru beliau sebuah Mini Cooper original one-off hasil ciptaan David Brown Automotive. Ciptaan Davis Brown Automotive ini dinamakan Mini Remastered dan ia memang sangat-sangat mahal tuan-tuan.

Ia khusus untuk mereka yang mahukan Mini yang asal dan bukannya Mini keluaran BMW yang sudah membesar tiga kali ganda dari saiz asal. Projek terbaru Mini Remastered ini adalah khusus untuk Cowell yang mahukan sesuatu yang mampu bersinar bagaikan seorang bintang di celah ribuan penonton dalam sebuah konsert mega. Dan ia juga diilhamkan dari salah sebuah kereta James Bond yang paling ikonik. Bukan Aston Martin DB5 tetapi Lotus Esprit.

Ooo, Lotus Esprit putih yang boleh jadi kapal selam tu ke bang? Bukan adik-adik wicetku. Ia merupakan sebuah Lotus Esprit Turbo yang digunakan dalam filem ‘For Your Eyes Only’ keluaran tahun 1981. Dua versi Lotus Esprit muncul dalam filem tersebut. Sebuah berwarna putih dimusnahkan oleh Bond sendiri dengan ciri self-destruct manakala sebuah lagi yang menjadi inspirasi Mini ini ialah Esprit Turbo yang berwarna oren gangsa.

Mini Cowell yang dimodenkan ini disudahi dengan warna Lotus Copper Glow sama seperti Lotus Esprit James Bond dan dipadankan dengan arca  roda dan bumbung berwarna hitam. Ia kemudian diserikan lagi dengan grafik tulisan ‘Turbo’ pada bahagian sisi dan jalur perlumbaan yang dilukis dengan tangan.

Kini ia menggunakan sport rim bersaiz 13-inci berwarna Sahara Gold lengkap dengan angkup brek berwarna hitam di bahagian dalam. Lampu-lampu utama diganti dengan unit LED dan lampu tambahan sebagai pelengkap pada bahagian bumper hadapan.

Kuasa enjin 1330 cc NA A-Series kini dipertingkatkan kepada 83 hp. Bahagian dalaman memang jauh lebih mewah berbanding Mini asal dengan kemasan kayu Dark American Burr Walnut berkilat digandingkan dengan kemasan kulit berwarna Artic White dan Alcantara yang serba mewah.

Sistem audionya kini juga menggunakan skrin infotainment bersaiz 7-inci lengkap dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Enam unit pembesar suara untuk kereta sekecil ini memang dijamin memuaskan hati dan telinga Simon Cowell yang sangat cerewet.

Berapa Cowell bayar untuk kereta ini ? Itu tiada siapa pun yang tahu kecuali beliau dan David Brown Automotive tapi yang pasti sebuah Mini Remastered standard berharga tidak kurang dari RM411,000!

Google ads
Back to top button