Buletin

HONDA ODYSSEY USDM, CUN JUGA NI! 3.5L V6

Pengguna tempatan yang tidak mahukan MPV import terpakai (recond) sebenarnya mempunyai beberapa pilihan dari pengeluar rasmi.

Boleh dapatkan Vellfire atau Alphard dari UMW Toyota atau Odyssey dari Honda Malaysia.

Harga ketiga-tiga model dari pengedar rasmi itu tidak boleh dibuat perbandingan setara dengan unit import terpakai kerana ia unit baharu yang diimport dari Jepun dan mempunyai pakej lengkap selepas jualan.

Honda Odyssey facelift

Ada satu lagi perkara, saiz Odyssey tempatan dalam kategori sederhana berbanding Vellfire dan Alphard.

Dengan itu, Odyssey mempunyai dua versi iaitu model domestik Jepun (JDM) yang juga dipasarkan di negara kita dan satu lagi bersaiz penuh untuk pasaran Amerika Syarikat (USDM).

Di sana, Honda baru sahaja mengumumkan penawaran Odyssey 2021. Model yang dipertingkatkan (facelift) itu dilengkapi beberapa naik taraf pada bahagian luaran dan teknologi.

Di AS, Odyssey adalah model minivan dengan jualan runcit terbaik selama sepuluh tahun.

Honda Odyssey USDM sebelum facelift

Perubahan pada Odyssey 2021 di antaranya ialah lampu depan LED yang senada dengan Civic, gril depan warna hitam dengan palang krom manakala bahagian bawah ireka semula dengan perumah lampu kabus.

Secara keseluruhannya bahagian depan Odyssey 2021 tampak ringkas dengan garisan kemas.

Baharu untuk Odyssey varian Elite ialah roda aloi 19 inci corak baru dan cermin sisi dengan fungsi penggelap automatik.

Bahagian dalam turut diberi perhatian dengan  suis kawalan suhu dikemaskini manakala bahagian belakang kerusi baris kedua boleh dibaring rata supaya mudah dialihkan.

Honda Odyssey 2021

Satu ciri menarik pada Odyssey 2021 ialah Sistem Peringatan Kerusi Belakang yang direka untuk meminta pemandu memeriksa bahagian tempat duduk belakang sebelum keluar dari kenderaan.

Sistem akan mengeluarkan amaran berbunyi dan mesej amaran dalam paparan bahagian pemandu.

Untuk varian Touring dan Elite, sistem itu menggunakan kamera CabinWatch bagi menayangkan visual bahagian tempat duduk belakang pada skrin Audio Paparan.

Integrasi kamera pada bahagian kerusi belakang dengan sistem peringatan kerusi belakang adalah yang pertama seumpamanya di dalam industri.

Dari segi keselamatan, kesemua varian Odyssey 2021 dilengkapi sistem keselamatan dan teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing® termasuk fungsi baharu Adaptive Cruise Control with Low-Speed Follow dan Pedestrian Emergency Braking.

2020 Honda Odyssey

Menggerakkan Odyssey ialah enjin 3.5-liter i-VTEC™ V6 berkuasa 280 hp dan dipadan bersama transmisi sepuluh kelajuan automatik.

Enjin itu menggunakan teknologi Variable Cylinder Management (VCM) yang mampu menukar operasi dari tiga silinder kepada enam silinder.

Dari segi harga, laman web Honda AS memaparkan USD30,790 (RM130,451) untuk varian asas Odyssey LX dan USD47,420 (RM200,909) bagi varian paling premium Odyssey Elite.

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button