MINI ACEMAN, SATU LAGI MINI ELEKTRIK, DI ANTARA MINI COOPER DAN COUNTRYMAN
Nama sahaja MINI namun pengeluarnya memaksimumkan gaya badan untuk dipilih pelanggan.
Sebagai contoh, MINI terdahulu ditawarkan dalam pelbagai model seperti Cooper, Clubman, Countryman, Coupé dan Paceman.
MINI Cooper generasi keempat dan Countryman generasi ketiga diperkenal pada 1 September 2023. Sejak itu beberapa varian menyusul seperti John Cooper Works Countryman (JCW) dan Cooper JCW Trim.
Bagaimana dengan gaya badan lain seperti generasi terdahulu? MINI memaklumkan Aceman akan diperkenal secara rasmi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Aceman adalah sebuah crossover dan menggabungkan ciri kedua-dua model MINI paling berjaya iaitu Cooper dan Countryman.
Dari segi susunan, Aceman berada di antara kedua-dua model tersebut.
Sebagai perbandingan, berikut ukuran Aceman, Cooper dan Countryman:
- Aceman: 4,075 mm (p), 1,754 mm (l) 1,495 mm (t)
- Cooper: 3,858 mm, 1,756 mm, 1,460 mm
- Countryman: 4,433 mm, 1,843 mm, 1,656 mm
Keluasan tersebut membolehkan Aceman memuatkan lima penumpang.
Selepas berjaya menamatkan ujian di Bulatan Artik, Aceman kini sedang menjalani ujian akhir di padang pasir di bawah matahari terik dan panas.
Selain dinamika dan keselesaan pemanduan, para penguji turut menumpukan perhatian pada fungsi penting lain untuk sebuah kenderaan elektrik.
Di antaranya penyaman udara, pengecasan dan penyejukan bateri, perkakasan pemanduan dan kawalan diuji di bawah suhu sehingga 50 darjah celsius di kawasan berdebu dan berpasir.
Aceman menggunakan rangkaian kuasa elektrik dan mungkin menyamai Cooper.
MINI cuma mengesahkan Aceman dibekal bateri 54.2 kilowatt-jam (kWj) dan angka itu sama seperti Cooper SE. Sebuah lagi varian ialah Cooper E dengan bateri 40.7 kWj.
Daripada dua MINI baharu yang diperkenal pada September, Countryman meriah dengan kuasa elektrik dan enjin pembakaran dalaman.