SELAMAT TINGGAL MITSUBISHI PAJERO, INI UNIT TERAKHIR DI UK
Kalau Toyota ada Land Cruiser sebagai jip ikonik, Mitsubishi pula terkenal dengan Pajero. Sejak pertama kali menemui pasaran pada tahun 1982, Pajero telah mengalami pelbagai revolusi dan evolusi.
Jip atau SUV ikonik itu masih dijual sehingga sekarang dan dikenali sebagai Pajero Sport. Tidak dinafikan ada yang masih rindukan Pajero dalam bentuk asal iaitu berkotak, ringkas dengan pacuan 4×4.
Pajero atau nama lainnya Shogun dan Montero dikeluarkan sehingga generasi keempat pada tahun 2006 dan tiada lagi model baharu dikeluarkan selepas itu. Mitsubishi mengambil keputusan untuk menyegarkan generasi itu dengan model facelift pada tahun 2012.
Walaupun sudah berusia, Shogun masih kekal menarik dan Mitsubishi sekali lagi mengemaskini SUV besar tersebut pada tahun 2015 yang merupakan sentuhan terakhir.
Selepas lama berada di pasaran, Mitsubishi mengambil keputusan untuk menghentikan terus pengeluaran Shogun untuk pasaran Eropah pada tahun ini.
Menyedari Shogun mempunyai nilai sejarah yang tinggi, Mitsubishi Motors di United Kingdom mengambil keputusan untuk mendaftarkan dan menyimpan unit terakhir di dalam koleksi warisannya.
Shogun sendiri adalah sebuah 4×4 popular dan sejak diperkenalkan sebanyak 114,164 didaftarkan di UK.
Unit terakhir itu ialah sebuah Shogun SWB Barbarian berwarna Frost White dengan spesifikasi lengkap seperti kemasan kulit, radio DAB, navigasi satelit, kamera undur dan kawalan suhu.
Mitsubishi UK mempunyai koleksi warisan yang terdiri daripada generasi pertama Shogun SWB tahun 1987 dengan enjin 2.6 liter petrol dan transmisi manual.
Shogun generasi pertama yang disimpan masih mempunyai kelengkapan asal seperti radio dengan pemain kaset. Jelas ketara perbezaan di antara generasi sulung dan terakhir tersebut.
Unit warisan kedua ialah Shogun SWB generasi kedua yang didaftarkan pada tahun 2000. Unit itu dilengkapi enjin 3.0 liter V6 petrol.
Mitsubishi UK memang prihatin tentang model warisan dan mempunyai koleksi lama seperti Lancer tahun 1974 dan model berprestasi Evo X FQ-440.
Apakah nasib Shogun selepas ini? Masih ada Pajero Sport jika anda mahukannya dan ia adalah jawapan kepada trend semasa.
Mitsubishi juga masih setia dengan SUV dan hampir kesemua model yang berada di bilik pameran terdiri daripada segmen tersebut seperti ASX, Outlander, Eclipse Cross dan Pajero Sport.