Artikel Pilihan

KERETA-KERETA TERHEBAT YANG PERNAH DIHASILKAN OLEH MITSUBISHI – MASA LALU YANG INDAH

Sekarang kalau kita tengok kereta-kereta keluaran Mitsubishi, perasaan memang akan bercampur baur. Kagum, kesian, sederhana, semuanya ada. Tapi disebabkan sumbangan mereka kepada dunia automobil sebelum ini dengan model-model hebat mereka. Rasanya ramai yang tak sampai hati nak mengutuk mereka. Malah tidak dinafikan Mitsubishi merupakan satu nama besar dalam arena sukan motor. Rekod mereka dalam Rali Dakar juga masih kekal sehingga kini walaupun mereka sudah lama menarik diri dan Mitsubishi Pajero juga sudahpun ditamatkan pengeluaran.

Jadi mari kita tengok beberapa buah model yang menjadi tonggak kehebatan Mitsubishi sebelum ini.

Mitsubishi Lancer Evo X

Generasi terakhir Lancer Evo ini memang sebuah hasil seni dan cukup jarang dapat dilihat di atas jalan berbanding saingan terdekatnya, Impreza WRX. Ia merupakan sebuah hasil kejuruteraan unggul dengan enjin 4-selinder 2.0L turbo yang mampu menghasilkan 291 hp kuasa yang disalurkan kesemua roda hadapan dan belakang. Hasilnya ialah sebuah jentera rali untuk kegunaan anda ke pasar untuk beli durian dan ke tempat kerja. Tapi kalau bawa durian tu ikat baik-baik sikit sebelum mula memecut okey.

Mitsubishi Starion

Kurang dikenali berbanding Toyota Supra dan Mazda RX-7 tetapi Starion mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ia juga merupakan kereta produksi pertama dari Jepun yang menggunakan sistem pancitan bahan api kawalan komputer dan pengecas turbo. Ia dikuasakan enjin 2.6L 4-selinder yang mampu menghasilkan 197 hp kuasa sebenarnya cukup hebat untuk zaman tersebut.

Mitsubishi Pajero

4×4 paling terkenal dari Mitsubishi yang menjadi pilihan ramai di seluruh dunia. Sayangnya ia baru sahaja dihentikan pengeluaran dan pernah dikeluarkan dalam pelbagai varian dan jenis enjin. Ia mungkin tidak seanggun kenderaan 4×4 lain tapi Pajero terkenal kerana tahan lasak dan mudah diselengara (bukan semua model tapi kereta lain pun sama kan).

Mitsubishi Lancer 1600 GSR

Nama Lancer ini sebenarnya sudah lama digunakan dan memang dikaitkan dengan warisan rali Mitsubishi. Sekitar tahun 1973-79, model 1600 GSR hanya boleh didapati dalam varian 2-pintu. Di Afrika ia mendapat jolokan “King of Cars” selepas dua kemenangan dalam Rali Kenya. Versi jalanan mempunyai enjin berkuasa 108 hp manakala versi perlumbaan pula mempunyai angka yang lebih besar, 169 hp!

Mitsubishi Eclipse Turbo

Ia merupakan pengganti kepada Starion dan dilengkapi dengan enjin 2.0L 4-selinder turbo yang mampu menjana 195 hp kuasa dan sistem pacuan semua roda. Nama Eclipse diambil sempena seekor kuda lumba di England yang tidak pernah kalah sekitar abad ke-18 dahulu.

Mitsubishi Galant VR4

Ini memang lagenda sebenar. VR4 bermaksud Viscious Realtime 4-wheel-drive dan merupakan sebuah sedan yang sempurna. Ia menempa kejayaan demi kejayaan dalam perlumbaan WRC sebelum menyerahkan takhta kepada Lancer Evolution. Walaupun VR4 dikenali dengan enjin 4-selinder berkuasa turbo, varian terakhirnya (generasi ke-8) telah dibekalkan dengan enjin 2.0L V6 yang mampu menyalirkan 237 hp kuasa ke semua bahagian rodanya. Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 6.5 saat.

Mitsubishi lancer Evo VI – Tommi Makinen Edition

Walaupun Evo dihasilkan sehingga siri X tapi model yang mewakili kejuaraan WRC semestinya ialah Evo VI edisi Tommi Makinen. Ia merupakan Evo yang paling agresif selain kelihatan berfungsi sepenuhnya. Macam biasa kuasanya dihadkan kepada 276 hp di atas kertas tetapi mempunyai potensi yang lebih tinggi. Tapi jangan tersilap dengan model Tommi Makinen jelmaan pulak.   

Mitsubishi 3000GT VR-4

Ini sebenarnya merupakan salah sebuah kereta sport terbaik keluaran Jepun pada suatu masa dahulu. Ia dinamakan 3000GT ataupun juga dikenali dengan nama GTO. Dengan enjin berkuasa 300 hp, sistem pacuan-semua-roda dan aerodinamik aktif, kereta ini mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 5.4 saat. Bagi varian VR-4, ia adalah lebih laju dari NSX tetapi dengan hanya separuh kos yang anda perlu bayar untuk memiliki NSX. Namun kos penyelenggaraan kereta ini membuatkan ia kurang diminati ramai

Tags
Google ads
Back to top button