![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2019/08/Mesin-layan-diri-Auto-Trader.04-780x405.jpg)
BELI KERETA GUNA MESIN LAYAN DIRI, DI UK DAN PERTAMA DI DUNIA!
Apabila berada di Jepun anda boleh menjumpai mesin layan diri (vending machine) yang menjual aneka barangan. Ia sudah menjadi budaya peruncitan di sana.
Walaupun mesin layan diri banyak di sana ianya belum sampai tahap digunakan untuk menjual kereta dan United Kingdom mendahului Jepun dengan memasangnya di London.
Kaedah pembelian pertama di dunia itu adalah insiatif portal jual beli kenderaan Auto Trader dan dipasang di pasar Spitalfields.
Apakah perbezaan pembelian melalui mesin layan diri dengan kaedah konvensional?
Bezanya ialah Auto Trader menawarkan pembelian siap dengan diskaun tanpa pembeli perlu berunding atau tawar-menawar untuk mendapatkan harga terbaik.
Satu isu di UK ialah apabila kajian di kalangan 2,000 pemandu menunjukkan 92 peratus responden mengakui mereka tidak pandai tawar-menawar dalam membeli kereta dan 98 peratus merasakan ianya memalukan dan merasa tidak selesa.
Digabungkan dengan beberapa lagi faktor, Auto Trader melihatnya sebagai peluang dan memperkenalkan mesin layan diri di mana pembeli tidak perlu melalui proses awalan yang tidak digemari.
Harga yang ditawarkan sudah siap dengan diskaun. Setakat ini Auto Trader menawarkan pembelian sehingga GBP£21,000 (RM108,064).
Bagi menjadikan inovasi ini sebagai realiti, sepasukan enam jurutera mengambil masa tiga bulan daripada proses reka bentuk hingga pemasangan.
Mesin layan diri tersebut mempunyai sistem bayaran atau sistem POS, pelepas kunci, bayaran bersepadu dan pelepasan bukaan pintu.
Kereta pertama yang ditawarkan ialah unit baharu Renault Zoe daripada Lookers Motor Group.
Auto Trader memang pandai memandangkan Renault Zoe salah satu daripada kereta elektrik yang mempunyai carian tertinggi di UK.
Pada bulan lalu hampir setengah juta atau 463,277 carian kereta elektrik dibuat di dalam portal Auto Trader.
Harga Renault Zoe yang merupakan unit pertama untuk pembelian ini ialah GBP£16,000 (RM82,334), diskaun besar daripada harga yang disyorkan iaitu GBP£22,470 (RM115,629).
Senang dan jimat bukan? Bayar guna telefon pintar pun boleh. Terkesima.