Buletin

NISSAN 370Z DAN 370Z NISMO DIJUAL DI FILIPINA, DARI RM237K!

Nissan 370Z adalah kesinambungan siri Z yang ikonik. Model ini dikeluarkan sejak 2009 dan sama seperti R-35 masih kelihatan relevan dan tak jemu dipandang.

Pada tahun yang sama ia dikeluarkan, Edaran Tan Chong Motor turut mengimport masuk 370Z ke pasaran tempatan dan dijual pada harga RM354,000.

Walaupun sudah melebihi satu dekad, adakah 370Z masih mempunyai pasaran? Ini yang dilakukan oleh Nissan di Filipina dengan menawarkan 370Z dan menariknya bersekali 370Z NISMO di sana.

Nissan 370Z digerakkan enjin VQ37 3.7 liter DOHC V6 berkuasa 332 PS dan tork 363 Nm. Enjin itu dipadan bersama sistem pemadanan SynchroRev (pertama di dunia) enam kelajuan manual.

Pengguna juga boleh mendapatkan transmisi tujuh kelajuan automatik dengan padel penukar gear magnesium dan fungsi Downshift Rev Matching.

Dari segi pengendalian, 370Z dilengkapi penyerap hentak talaan sport, brek sport Nissan, limited slip differential dan aci pacu komposit gentian karbon.

Reka bentuk luaran masih mengekalkan konsep sama seperti siri Z terdahulu dan mempunyai beberapa kelebihan.

Garisan bumbung rendah membantu prestasi aerodinamik, pusat graviti rendah dan jarak roda (wheelbase) pendek memberikan respon lebih pantas dan pengendalian lebih baik.

Ciri luaran lain ialah lampu utama projektor HID Bi-Xenon, lampu nyalaan siang LED dan kombinasi tayar 19 inci dengan roda aloi forged RAYS. Pada bahagian belakang dilengkapi ekzos berkembar dan spoiler.

Pada bahagian dalam, pemandu dihidangkan kerusi sport dengan empat larasan berkuasa, tiga meter, sistem audio Bose lapan pembesar besar, pedal sport serta butang mula dan henti.

Satu tawaran istimewa buat pengguna Filipina ialah Nissan 370Z NISMO.

Varian ini tampil berbeza dengan kelengkapan NISMO seperti bampar depan dan belakang, skirt sisi, spoiler dan cermin sisi untuk penampilan agresif dan membantu prestasi daya ke bawah (downforce) pada bahagian depan dan belakang.

Lagi ciri luaran ialah roda aloi forged dari RAYS dengan kemasan warna kelabu arang. 

Bahagian dalam pula dilengkapi kerusi sport Recaro, stereng dengan balutan kulit dan Alcantara, meter kelajuan enjin NISMO warna merah dan logo NISMO.

Dari segi kuasa, penggunaan sistem ekzos berkembar NISMO menghasilkan output lebih tinggi kepada 344 PS dan tork 371 Nm. Enjin itu hanya dipadan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan dengan padel tukaran gear magnesium hitam.

Dari segi pengendalian, 370Z NISMO dilengkapi pendakap suspensi (strut tower brace) untuk ketegaran badan dan suspensi berprestasi bagi pengendalian lebih baik.

Dari segi harga, Nissan 370Z Premium dijual pada P 2,779,000.00 (RM237,119) untuk transmisi manual dan P 2, 879,000.00 (RM245,651) bagi pilihan automatik.

Nissan 370Z NISMO pula berharga P 3,888,000 (RM331,744).

BACA: PADA 2013 NISSAN MARCH NISMO DIPERKENAL, COMEL DAN SPORTI

BACA: NISSAN TERIMA ELEKTRIK SEBAGAI BAYARAN MELETAK KERETA!

BACA: NISSAN JUKE AUSTRALIA, 1.0 TURBO 3 SILINDER DAN DCT!

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button