
TOYOTA LAND CRUISER PRADO 2020. LEBIH POWER, SELAMAT. DI JEPUN SAHAJA, BERMULA RM143K
Toyota Land Cruiser Prado untuk pasaran Jepun kini dilihat semakin menarik dengan beberapa penambahbaikan baharu.
Antara perubahan penting ialah SUV berkenaan menggunakan enjin diesel turbo 2.8 liter yang telah dinaik taraf apabila dipasang dengan unit turbo lebih besar. Kuasa maksimumnya kini mampu mencecah 201PS (sebelum ini 177PS).
Peningkatan kuasa ini pasti dihargai terutama untuk menarik tubuhnya yang besar dan berat. Sistem keselamatan Toyota Safety Sense pada Land Cruiser Prado telah dipertingkatkan dengan fungsi-fungsi tambahan.

Misalnya jarak pengesanan pra-pelanggaran yang lebih jauh untuk melihat pejalan kaki serta penunggang basikal pada waktu malam dan siang. Di samping Lane Departure Alert dengan fungsi bantuan yaw, Road Sign Assist (RSA) dan notifikasi kenderaan termaju.
Varian TZ-G dan TX pakej L hadir dengan ciri Rear Cross Traffic Alert sebagai pilihan. Sistem pilihan tambahan lain termasuklah sistem infohibur dengan paparan 9 inci dan ketersambungan telefon pintar.
Bukan itu sahaja, varian paling tinggi TZ-G didatangkan bersama paddle shifter untuk tranmisi automatik 6-kelajuan Super ECT.
Toyota turut menawarkan edisi terhad dikenali sebagai TX L Package Black Edition. Dibina berasaskan kepada model TX, ia tampil dengan kemasan hitam pada bahagian dalaman dan luarannya.

Di bahagian luar, Land Cruiser Prado Black Edition dipasang dengan kemasan hitam pada gril, perumah lampu utama, perumah cermin sisi dan roof rail. Tidak ketinggalan, rim aloi bersaiz 18 inci berwana hitam.
Model edisi khas itu juga menerima panel berwarna perak dan hitam pada ruang kabinnya.
Land Cruiser Prado ditawarkan pada harga bermula 3,621,000 yen (RM143,258) untuk modal asas. Varian Black Edition pula berharga 4,261,000 yen (RM168,500) seunit.