Pandu Uji

TOYOTA COROLLA 1.8G : THE UNGOGEKABLE

Pulang ke kampung untuk menyambut hari raya Aidil Adha minggu lepas, penulis memang sengaja memilih untuk memandu uji Toyota Corolla 1.8G atas 2 sebab utama walaupun kereta ini sudah lama dilancarkan. Pertama ialah untuk menguji cesi Toyota New Global Architecture di laluan mencabar Jalanraya Grik Jeli dan yang kedua ialah untuk menguji sistem Toyota Safety Sense

Untuk memudahkan pembaca mendapat maklumat, maka review ini akan ditulis berdasarkan poin demi poin.

1. Rekaan luar – Toyota memilih untuk menampilkan rekaan sedan 3 kotak konvensional sama seperti Mazda 3, berbeza dengan rekaan fastback yang digunakan oleh Honda Civic. Tema rekaan pula berkisar pada Shooting Robust. Corolla baru nampak serius, continentalish dan dengan rim bersaiz 17 inci dan tayar Michelin Premacy 225/45

Rekaan bampar baru dengan gril hitam, kemasan krom, rekaan lampu dengan DRL, rekaan tegap pada bahagian sisi memberikan imej mahal, lari jauh dari imej rekaan Jepun kepada rekaan yang nampak muda dan segar. Dah tak nampak imej uncle dan pakcik. Imej baru sekarang nampak maskulin, nampak tegap dan segar.

2. Rekaan dalaman – bermula dengan generasi 11, warna krim digantikan dengan warna hitam nampak lebih sporti dengan jahitan benang berwarna putih pada papan pemuka dan kusyen. Penulis rasa Corolla menerapkan konsep minimalis dengan hanya butang penyaman udara, unit sistem audio serta butang hazard light

3. Ergonomiks – ini merupakan aspek yang perlu dipuji dalam buatan Corolla. Sepanjang 6 hari memandu uji dan berhadapan dengan kesesakan luar biasa, badan penulis boleh bertahan sehingga 5 jam tanpa mengalami lenguh badan. Bahagian belakang beri sokongan penuh pada bahagian pinggang dan tengah belakang. Stering dengan fungsi teleskopik memberikan kedudukan tangan dan lengan yang ideal

ptr

4. Enjin – Toyota Corolla masih menggunakan nadi 2ZR-FE dengan sesaran 1800cc, DOHC dual-VVT-i. Kuasa yang dihasilkan ialah 137 kuasa kuda dan 173Nm tork. Tak sepower Honda Civic, tapi sudah cukup untuk penulis menghambat dan memintas 2 buah Honda Civic FD, Gen2 modified, dan Wira modified di Jalanraya Grik Jeli.

Penulis tak tahu apa yang Toyota buat, tapi enjin ini terasa padan dengan Corolla, sedang-sedang saja dalam mode Eco. Tapi tak adil la untuk dibandingkan dengan Passat 2.0 yang dipadankan dengan enjin 2000cc turbo di laluan lurus. Hanya pada 6000RPM barulah unit 2ZR-FE ini menderam lembut

5. Tranmisi CVT – sama seperti Honda, Toyota menghasilkan sendiri unit CVT yang digunakan pada Corolla menerusi anak syarikat mereka iaitu Aisin. Pujian harus diberikan kepada Toyota kerana CVT ini tidak ada rubber band effect, lancar dan senyap. CVT dalam Corolla sudah memasuki 2 generasi dan banyak penambahbaikan yang telah dibuat pada unit terbaru. Secara jujur, ia transmisi yang cekap dalam membantu enjin menyampaikan kuasa pada tayar.

6. Penggunaan Petrol – secara realistik jika anda memandu dengan agresif seperti penulis, maka penggunaan petrol adalah sekitar 13.8km/liter – 14km/liter. Ia merangkumi dalam keadaan jalan sesak balik kampung, memecut sehingga 170km/j dan juga halaju biasa 120km/jam. Namun jika anda kekal pada 110km/j, ia menawarkan penggunaan minyak sehingga 17km/liter

7. Sport Mode – mode pemanduan sport turut ditawarkan dengan butang pengaktifan dipasang berhampiran tombol gear. Sebaik sahaja ditekan, meter akan menjadi warna merah dan respon enjin menjadi sangat sensitif. Penukaran gear melalui paddle shift akan dibuat pada RPM tinggi, dan cesi Corolla menghenjut ke depan setiap kali penukaran gear dibuat persis gear 7 kelajuan AT

8. Pengendalian – cesi TNGA sangat berlainan dengan cesi lama, sistem gantungan belakang menggunakan double wishbone atau orang kampung sebut suspensi sepit udang. Bayangkan penulis menekan pedal di permulaan selekoh kanan menuruni bukit, cesi ini mampu mengikut arahan pada roda stering dengan tepat sehingga pada kelajuan 160km/j Corolla ini masih mampu mengikuti racing line dengan tepat.

Di laluan Grik Jeli, Corolla mampu memasuki selekoh sehingga kelajuan 130km/j walaupun ketika menuruni selekoh. Bahagian ekornya langsung tidak terbuang. Suspensi double wishbone akan memastikan tayar sentiasa mencengkam jalan berselekoh dengan kemas. Segala lopak dan lubang akan dilalui oleh tayar belakang dengan sudut vertikal, memastikan aspek camber, toe dan wheelbase kekal pada aspek yang diinginkan oleh jurutera.

9. Keselesaan – walaupun cesinya rasa jitu, namun Corolla masih lagi selesa. Ia ibarat Mazda 3 yang dilembutkan sedikit. Ride dan handling Corolla boleh diibaratkan 45% sporti dan 55% selesa dan lembut. Terasa lembut tapi di selekoh Corolla cemerlang beraksi.

10. Toyota Safety Sense – walaupun Toyota lambat memperkenalkan teknologi Advance Driving Assitance System (ADAS), tapi sistem ini beroperasi dengan cemerlang. Sistem ini beroperasi dengan bantuan kamera dan juga sistem radar merangkumi sistem Dynamic Radar Cruise Control (dengan fungsi Low Speed Follow), dan Lane Tracing Assist akan membantu pemandu mengawal stering agar kekal di tengah laluan.

Lane Departure Alert pula akan memberi amaran jika pemandu terkeluar dari laluan serta memberikan bantuan kawalan stering jika diperlukan. Automatic High Beam akan menyalakan dan mematikan lampu tinggi jika ia mengesan kehadiran kereta lain. Pre-Collision System pula akan memberi amaran dan membrek jika ia mengesan jika kemalangan hampir terjadi.

11. TNGA – paling utama pembaharuan Corolla ialah cesi TNGA yang digunakan dengan memberi penekanan pada ketangkasan, kestabilan dan pandangan yang lebih baik. Semua aspek ini dicapai dengan mengurangkan 40% geseran dalam komponen suspensi yang menyumbangkan kepada pengurangan body roll dan body pitch semasa selekoh serta kawalan stering yang responsif.

Kekerasan cesi atau torsional rigidity dinaikkan 60% dan posisi penyerap hentak tayar belakang diubah bagi memberikan keselesaan dan kestabilan pada halaju tinggi. Bagi mendapat pandangan yang lebih bagus cermin depan dibesarkan, tiang A dikuruskan, dan cermin sisi dipindahkan ke belakang bagi menghapuskan blind spot pada sisi depan.

12. Ciri-ciri lain yang menarik – ciri pengecas tanpa wayar yang sebelum ini wujud di model Camry mulai dipasang pada model Corolla, satu poin pengecas USB dan satu poin pengecas 12V dipasang pada perehat tangan tengah, ruang kargo 450 liter bersama dengan tayar ganti bersaiz 17 inci, pengelap cermin automatik dan juga tirai anti silau di bahagian belakang.

13. Kelemahan – sudah tentu benda yang paling kerap dikritik ialah skrin 9 inci, pada pendapat penulis bukan berkenaan saiz tapi posisinya yang agak ke tengah. Ia perlu direndahkan serta ditolak sedikit ke belakang. Isu kedua ialah rekaan corong penyaman udara di bahagian tengah, rekaannya nampak kurang eksklusif.

Tak bergogek dalam dialek Kelantan membawa maksud tak bergoyang. Civic 1.5TCP mungkin lebih berkuasa dari Toyota Corolla, tapi Corolla tak goyang. Mazda3 mungkin lebih sporti dan lebih cun, tapi Corolla tak goyang. Toyota Corolla menawarkan value tersendiri, dan ditambah dengan cesi TNGA serta Toyota Safety Sense menjadikan Toyota Corolla, ungogekable.

Google ads
Back to top button