Buletin

PADA 2013 NISSAN MARCH NISMO DIPERKENAL, COMEL DAN SPORTI

Pada 23 Jun 2013 Nissan mengumumkan penawaran dua model istimewa iaitu Fairlady Z NISMO dan kereta bandar March NISMO. Satu ketika dahulu Nissan March pernah ditawarkan di pasaran tempatan yang kini tiada kesinambungan.

Maksud di sini ialah generasi March terbaru tidak dijual di pasaran tempatan dan segmen hatchback yang ditinggalkan pernah diisi dengan Nissan Latio. 

Nissan sentiasa konsisten dalam menawarkan produk NISMO dan March tidak terkecuali dan ini yang ditawarkan untuk pengguna Jepun pada 2013.


Dengan March NISMO anda dapat memiliki kereta bandar yang praktikal, jimat minyak dan tampil sporti.

Ada dua varian yang ditawarkan iaitu March NISMO dan March NISMO S.

March NISMO dibina dari varian X dengan enjin 1.2 liter HR12DE petrol dipadan bersama transmisi Xtronic CVT dan mempunyai teknologi idling stop.

Berbekalkan enjin tersebut, ia merupakan model NISMO berorientasikan penggunaan bahan api rendah dan secara keseluruhannya untuk keseronokan pemanduan harian di bandar.

Ini konsep yang bagus di mana kereta dengan penjenamaan sporti tidak semestinya perlukan enjin besar dan berkuasa tinggi.

March NISMO S pula disasarkan kepada pembeli yang mahukan sesuatu lebih sporti. Varian ini menggunakan enjin 1.5 liter HR15DE talaan khas dan transmisi lima kelajuan manual. 

Ketegaran badan varian ditingkatkan dan suspensi ditala untuk pemanduan mengasyikkan.

Kit badan yang digunakan pada kedua-dua March NISMO mempunyai fungsi tersendiri dan bukan sekadar estetika. 

Bampar depan kereta dengan lips berfungsi dalam menghasilkan daya ke bawah (downforce) manakala bampar belakang dengan bentuk yang dioptimumkan bagi mengurangkan rintangan angin.

Tidak dilupakan spoiler but dengan reka bentuk comel dan tidak berlebihan.

Ciri khas lain pada March NISMO ialah gril depan, logo depan belakang, pelapik ambang pintu, cermin sisi warna merah, lampu DRL LED, lampu kabus belakang dan tingkap privasi.

Bahagian tepi pula dipasangkan skirt dan roda aluminium 16 inci NISMO.

Tiga warna ditawarkan iaitu Brilliant White Pearl, Brilliant Silver dan Pure Black.

Bahagian dalaman March NISMO sama padan dengan luar. Stereng dibalut kulit asli dan Alcantara® dengan penanda merah pada bahagian tengah ala kereta lumba. 

March NISMO S istimewa dengan kerusi berbentuk bucket yang memberikan lebih sokongan kepada pemandu dan penumpang sisi.

Dari segi pengendalian dan pemanduan, para jurutera mengubah talaan supaya lebih melekat di atas jalan raya di samping masih selesa untuk kegunaan harian.

Set suspensi terdiri dari penyerap hentak dan gegelung berbeza dari March standard termasuk respon stereng yang ditala semula.

Dipadan bersama roda aluminium NISMO ialah tayar Bridgestone POTENZA RE-11 dengan saiz 205/45R16.

Kedua-dua varian menggunakan pacuan 2WD dan dilengkapi sistem VDC.

Enjin 1.5 liter HR15DE pada March NISMO S ditala khas dengan kuasa ditingkatkan sebanyak 37PS dan tork 50Nm kepada 116PS dan 156Nm.

Banyak lagi yang diubah pada March NISMO S seperti tetapan khas pada pengurusan (ECM), sistem ekzos, suspensi, sistem brek dan nisbah stereng.

Para jurutera turut mempertingkatkan ketegaran badan dengan memberi tumpuan pada komponen suspensi depan dan belakang.

Dari segi harga Nissan March NISMO 1.2L dijual pada 1,540,350 yen manakala March NISMO S 1.5L pada 1,770,300 yen.

Mungkin ada yang tertanya apakah alternatif yang ditawarkan untuk pasaran tempatan?

Nissan memberikan Almera NISMO yang juga tidak kurang hebat spesifikasinya. Perhatikan kit badan March dan Almera NISMO dan anda boleh menemui persamaannya.

BACA: NISSAN SERENA NISMO INI BOLEH DIPESAN DENGAN KERUSI RECARO & TAYAR POTENZA RE003

BACA: NISSAN GT-R RAKAM GT-R NISMO, HABIS NAK GUNA KERETA APA?

BACA: PADA 2005 NISSAN WINGROAD DIPERKENAL – SIRI AKHIR AD RESORT

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button