Buletin

NISSAN ALMERA 2020- TIDAK MACAM ALMARI LAGI…

Nissan akhirnya membuat keputusan yang betul apabila memperkenalkan sedan Almera atau dipanggil sebagai Versa baharu pada acara Festival Muzik Florida, Amerika Syarikat (AS).

Seperti yang anda boleh lihat, jentera itu menerima perubahan luaran dan dalaman yang sangat ketara.

Ia kini jauh lebih sporty dan menarik berbanding model yang masih dijual di beberapa pasaran termasuk di Malaysia sekarang.

Model generasi baharu itu mengambil inspirasi rekaan sedan lebih besar iaitu Altima (Teana). Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi gril V-Motion, sepasang lampu utama LED yang nipis dan lampu kabus.

Harus tahu juga bahawa Almera serba baharu ini adalah lebih rendah, lebar dan panjang. 

Melihat dari arah sisi, Almera nyata lebih elegan. Satu bahagian di tiang belakang dihitamkan untuk memberi bayangan bumbung yang terapung. Bahagian belakang pula diserlahkan menerusi lampu yang memanjang. 

Ruang kabin turut menerima perubahan yang cukup besar. Tiada lagi dial besar berbentuk bulat yang nampak murah.

Sebaliknya, papan pemuka dipasang dengan sistem audio serta skrin sentuh berbentuk trapeziodal, bersama ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Di samping tombol kawalan pendingin hawa kini lebih kecil dan kemas.

Tempat duduk dan konsol tengah dibalut kulit bersama jahitan benang berwarna oren. Manakala streng kini tampil dengan rekaan rata pada bahagian bawahnya. 

Untuk pasaran AS, Almera/Versa dijana oleh enjin 1.6 liter berkuasa 122PS (tanbahan sebanyak 10PS) dan tork 154Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT X-Tronic yang telah dipertingkatkan. 

Antara ciri keselamatan yang ada pada Almera termasuklah pengesan pejalan kaki, Lane Departure Warning, bantuan lampu tinggi automatik, Blin-spot Warning, Rear Cross Traffic Alert dan kawalan jelajah adaptif yang termasuk dalam sistem Nissan Safety Shield 360. . 

Sedan itu dijangka dijual di AS menjelang musim panas tidak lama lagi. 

GALERI

Google ads
Back to top button