Buletin

NISSAN SERENA e-POWER DILANCAR DI SINGAPURA – 17.5KM/L PETROL!

Nissan dan Tan Chong Motor Sales pada 25 September lalu telah melancarkan Nissan Serena e-POWER di Singapura. MPV tujuh kerusi itu adalah model e-POWER yang pertama di Singapura, Asia dan Oceania.

Ini adalah pelancaran model elektrifikasi kedua selepas LEAF dan Nissan mensasarkan untuk menawarkan model elektrifikasi untuk kesemua barisan model di Singapura menjelang 2022.

Berbeza dengan Serena S-Hybrid pasaran tempatan, Serena e-POWER digerakkan dengan pacuan elektrik sepenuhnya dan menawarkan penjimatan bahan api yang ketara.

Tapi dari mana pula datangnya penjimatan bahan api apabila MPV ini digerakkan tenaga elektrik?

Serena e-POWER sebenarnya berbeza dengan model elektrik atau hibrid. Ia mempunyai enjin petrol dengan gabungan motor elektrik bagi memacu roda.

Secara ringkasnya, komponen e-POWER terdiri daripada enjin petrol, penjana kuasa (generator), penyongsang (inverter) dan motor. Dari segi tugas, enjin membekalkan tenaga kepada penjana kuasa dan kemudian dihantar kepada penyongsang dan motor bagi menggerakkan roda.

Nissan Serena e-POWER 2018 – Sebelum facelift

Output kuasa motor elektrik Serena e-POWER ialah 100kW dan daya kilas 320Nm yang boleh dirasa serta merta. Enjin 1.2 liter yang tugasnya mengecas bateri beroperasi dalam kelajuan berterusan dan optimal dan hanya menggunakan petrol sebanyak satu liter untuk setiap 17.5 km.

Dari segi gayaan, Serena e-POWER berbeza dengan versi tempatan dan ia menggunakan kit facelift di mana gril V-motion lebih ekspresif dan bermula dari bawah bampar.

MPV ini turut berbeza dari segi kemasan dengan identiti e-POWER berwarna biru pada gril, tombol gear elektronik, bekas konsol dan paparan papan pemuka.

Nissan Serena e-POWER 2018 – Sebelum facelift

Untuk ciri keselamatan, Nissan Serena e-POWER mempunyai rating keselamatan lima bintang JNCAP dan dilengkapi teknologi Nissan Intelligent Mobility seperti Intelligent Around View Monitor dan Intelligent Driver Alertness.

Ia turut dilengkapi enam beg udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dan sistem Vehicle Sound for Pedestrian (VSP).

Harga Nissan Serena e-POWER di Singapura bermula dari S$140,800 (RM431,950) termasuk COE.

BACA: NISSAN PATROL DIPERKENAL, ENJIN 4.0L V6 DAN 5.6L V8!

BACA: PADA 2002 NISSAN ELGRAND DIPERKENAL, SAINGAN TOYOTA ALPHARD

BACA: NISSAN GT-R 2020, AKHIRNYA ADA WARNA IKONIK BAYSIDE BLUE!

Sumber foto/kredit: Nissan

Google ads
Back to top button