
MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG SEMPENA PENYERTAAN ONE MOTORSPORTS KE KINGS CUP TROPHY
Pada malam Sabtu yang lepas telah berlangsungnya sesi Penyerahan Jalur Gemilang sempena penyertaan pasukan One Motorsport ke Kings Cup Trophy 2019 yang bakal berlangsung di Lampang, Thailand.
Walaupun hujan lebat sepanjang perjalanan dari rumah ke Hype Motorsports Hotel yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, namun Brader Karrager gigih memandu dalam keadaan kesesakan yang luar biasa menuju ke Nilai. Mujur sewaktu tiba di lokasi hujan telah pun berhenti. Pandai betul pasukan One Motorsports ini menganjurkan acara dengan memilih Hype Motorsports Hotel, sebuah hotel yang bertemakan sukan permotoran. Baru kena dengan jiwa kelajuan.

Majlis yang sederhana tetapi masih lagi meriah dengan ahli keluarga besar One Motorsports turut dihadiri wakil daripada Kementerian Belia & Sukan, En. Lim Chow Kiat selaku Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi Bahagian Pembangunan Sukan. Brader Karrager yang ditempatkan di meja VIP turut sempat berbual santai dengan beliau bersama Pengurus Pasukan, En Khalid serta Mummy Khalish antara orang kuat pasukan. Barulah tahu bahawasanya sukan permotoran rali ini diletakkan di bawah Sukan Rekreasi. Turut serta dalam sesi persembangan santai tersebut adalah wakil daripada Exco Sukan Permotoran Negeri Sembilan yang turut hadir sebagai tanda sokongan.

Sebetulnya, kehadiran wakil daripada Kementerian Belia & Sukan ini seumpama memberikan sedikit sinar buat sukan rali di Malaysia. Rasanya kita semua tahu tentang perkembangan rali di tanah air bagaimana kisahnya. Kedudukannya darjat dalam dunia sukan permotoran tanah air barangkali berada paling bawah walaupun sukan rali ini pernah melahirkan jaguhan dunia yang bukan calang – calang.
Dan usaha pasukan One Motorsport untuk menjual nama Malaysia dan sukan rali secara khususnya dengan mendapatkan ‘cop kelulusan’ daripada KBS adalah sesuatu yang boleh dipuji. Minggu lepas sewaktu Sambutan Bulan Sukan Negara di Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil, pasukan One Motorsports turut mengambil bahagian dengan pembukaan reruai dan turut mempamerkan kereta rali mereka. Malah, mereka juga bercadang untuk menganjurkan Rally Shakedown dan juga Rally Sprint dalam tahun ini juga jika tiada aral.

Dan untuk penyertaan kali kedua pasukan ini, mereka kali ini bakal tampil dengan dua buah kenderaan, Proton Satria Neo dengan gandingan Henzee / Syamim dan juga Subaru Impreza GC8 gandingan Roduwan / Amirul. Sudah tentu persiapan kali ini lebih rapi dan teliti bagi memastikan penyertaan kali ini tidak lagi sekadar mengutip pengalaman. Masanya untuk memburu kejayaan.
Ketika sesi Sidang Akhbar yang diadakan sejurus penyerahan Jalur Gemilang, Henzee sememangnya menyasarkan untuk berada dalam kedudukan tempat ketiga teratas bagi penyertaan kali kedua ini. Sebelum ada yang bertanya kenapa tiada gambar Chepot, beliau ketika itu sedang berada di luar kawasan. Terpaksalah Brader Karrager temuramah beliau secara online aja nanti. Siap kau Chepot. Dengar kata kereta yang dipamerkan tu mock up aja. Kereta sebenar sedang disiapkan.