Buletin

NISSAN GT-R 2020, AKHIRNYA ADA WARNA IKONIK BAYSIDE BLUE!

Tahun depan Nissan GT-R akan memasuki usia pengeluarannya selama 13 tahun. Cukup “tua” untuk standard kereta Jepun secara amnya namun Nissan tidak pernah lupa untuk memperkemaskan jentera ini setiap dua atau tiga tahun di pasaran.

Bagi keluaran tahun 2020, GT-R akan didatangkan buat pertama kalinya dengan warna ikonik Skylien GT-R iaitu Bayside Blue. Ya. ia warna yang mungkin ditunggu-tunggu oleh ramai peminatnya di seluruh dunia demi mengingati lagenda Nissan Skyline GT-R BNCR-34.

Apa lagi pembaharuan model ni?

Enjin 3.8 liter V6 dengan induksi turbo berkembar ini didatangkan dengan unit turbo baru yang dikatakan lebih responsif pada RPM rendah. Pertukaran gear juga diperkemaskan, ia kini 0.15 saat lebih pantas dalam mod perlumbaan – R mode.

Laluan sistem manifold ekzos juga telah direka semula untuk memudahkan penyelenggaraan dibuat dan set ekzos disudahkan dengan tip buatan titanium.

Sistem kawalan suspensi elektronik Godzilla ini telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih lancar. Nissan mendakwa kawalan sterengnya lebih linear dan memerlukan pembetulan yang minimal ketika kereta dipandu sehingga 300km/j.

Sistem brek juga dipertingkatkan dengan booster brek baru yang membolehkan respons brek dipertingkatkan disamping mengurangkan daya tekanan pada pedal brek.

Dari sudut kosmetik, Nissan telah menggantikan rim generasi keduanya kepada generasi ketiga. Masih bersaiz 20 inci tetapi dengan jejari baharu dan buat pertama kalinya juga, bahagian dalamannya didatangkan dengan opsyen warna kulit kelabu.

Keseluruhan pakej GT-R 2020 ini didatangkan dengan lima trim berbeza. Ada edisi biasa, Track Edition, Pure Edition dan Nismo Edition beserta pilihan seperti kerusi gentian karbon, brek jenis seramik.

Google ads
"
"
Back to top button