" "
Buletin

NISSAN PATROL DIPERKENAL, ENJIN 4.0L V6 DAN 5.6L V8!

Nissan pada 24 September memperkenalkan Patrol 2020 dengan reka bentuk baharu, lebih mewah dan teknologi Nissan Intelligent Mobility. Patrol adalah SUV saiz besar dan berada di dalam segmen sama seperti Toyota Land Cruiser.

SUV dengan saiz besar begini popular di Timur Tengah dan di negara kita seperti Sabah dan Sarawak.

Patrol adalah merupakan warisan penting dalam sejarah SUV Nissan dan bersama dengan Armada telah terjual sebanyak 1.9 juta unit sejak dilancarkan pada 1951.

Patrol terkenal dengan ketahanan, boleh diharap, keselesaan, keselamatan dan keupayaan dalam mengharungi pelbagai bentuk muka bumi. Patrol adalah model flagship dalam famili 4×4 keluaran Nissan.

Bahagian depan Patrol 2020 tampil dengan gril V motion yang tampak berbeza. Gayaan itu tampak matang dan kemas dan tidak terlalu agresif.

Lampu depan bumerang juga tampil dengan gaya baharu dan berjaya menonjolkan karakter premium dan moden.

Perubahan bahagian belakang pula tidak terlalu ketara kecuali lampu yang turut menggunakan gaya bumerang.

Pada bahagian dalam, konsol tengah mempunyai dua paparan atas dan bawah dengan kemudahan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kemasan pula lebih mewah dengan kerusi kulit bercorak berlian dan skema warna perang dan hitam.

Nissan turut memperbaiki tahap bunyi dan getaran seterusnya menghasilkan kabin yang lebih senyap dan selesa.

Sistem penyejukan dan agihan aliran udara turut diperbaiki untuk kadar sejukan lebih cepat dan sangat berguna di dalam cuaca panas.

Pembaharuan lebih komprehensif dengan teknologi keselematan seperti Brek Kecemasan Pintar dengan pengesan pejalan kaki dan sistem Amaran Pintar Pelanggaran Depan yang dapat mengurangkan risiko kemalangan.

Menggerakkan SUV besar ini ialah dua pilihan enjin iaitu 4.0 liter V6 berkuasa 275 hp dan tork 394 Nm. Satu lagi pilihan ialah 5.6 liter V8 berkuasa 400 hp dan 560 Nm tork.

Sistem All-Mode 4X4 membolehkan pemandu menukar mod bagi menangani permukaan jalan dan muka bumi berbeza.

Sistem Kawalan Gerakan Badan Hidraulik pada model V8 pula memberikan keselesaan pemanduan lebih baik hasil dari suspensi yang diperbaharui dan pengurangan getaran.

Nissan Patrol akan mula dijual di Timur Tengah bermula bulan ini dan dengan enjin yang besar seperti mustahil untuk ditawarkan di pasaran tempatan.

Kredit foto: Nissan

BACA: NISSAN X-TRAIL BARU BUKTIKAN NISSAN MAHU BERUBAH!

BACA: #IKLANPILIHAN: NISSAN SKYLINE GTT SUMPAHAN GTR

BACA: RM61K – HARGA PERMULAAN NISSAN VERSA (ALMERA) DI AS

Google ads
Back to top button