Buletin

PADA 2002 NISSAN ELGRAND DIPERKENAL, SAINGAN TOYOTA ALPHARD

Pasaran van dan MPV di negara kita memang meriah. Van dan MPV mudah mendapat perhatian dan digemari pengguna tempatan disebabkan budaya keluarga dan rangkaian jalan raya yang baik.

Dari era Toyota Liteace, Nissan Vanette, Ford Econovan, Toyota Estima, Perodua Rusa, Proton Exora sehinggalah model premium Alphard dan Vellfire sekarang ini.

Dalam merebut pasaran, pengeluar mempunyai hero masing-masing dan era model recond menyaksikan Nissan Elgrand dibawa masuk oleh pengimport bebas.

Pada masa itu, segmen MPV premium tempatan diisi oleh Toyota Alphard dan kemudian Honda Elysion. Alphard lebih ke depan dek kerana reputasi Toyota yang kuat namun Elgrand tidak kurang hebat dan mempunyai penggemar tersendiri.

Elgrand yang dibawa masuk ke pasaran tempatan pada masa itu ialah generasi kedua (E51) dan diperkenalkan di Jepun pada 20 Mei 2002. Menariknya, Toyota Alphard juga diperkenalkan di Jepun pada bulan yang sama.

Model ini dibangunkan berdasarkan konsep “van mini kelas pertama yang memenuhi impian dan inspirasi konsumer untuk pengalaman yang menyenangkan”.

Elgrand E51 mempunyai DNA generasi pertama yang terkenal dengan ruang dalaman, reka bentuk tersendiri, dinamika pemanduan dan pelbagai lagi ciri yang menjadi pujian.

Berbanding generasi pertama, Elgrand E51 dibina dengan lantai lebih rendah, rata dan bumbung lebih lebar.

Kesemua bahagian dibesarkan bagi menambah keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Bahagian dalam Elgrand nampak seperti ruang tamu dengan perabot moden.

Tempat duduk barisan kedua mempunyai kerusi tengah pelbagai fungsi. Apabila diteggakkan ia boleh memuatkan seorang penumpang dan apabila direbah ia menjadi perehat lengan dengan pemegang air.

Kerusi tengah tersebut boleh ditolak ke depan bagi membuka lorong untuk akses ke tempat duduk barisan ketiga. Selain itu ruang simpanan di bawah kusyen boleh memuatkan konsol permainan atau barang-barang lain.

Kerusi tengah juga boleh digunakan sebagai meja apabila kerusi barisan kedua di pusing untuk menghadap kerusi barisan ketiga.

Dari segi kuasa, sewaktu mula diperkenalkan di Jepun Elgrand digerakkan oleh enjin VQ35DE V6. Enjin 3.5 liter V6 itu dipadankan bersama transmisi lima kelajuan automatik ATx. Elgrand mempunyai sebuah lagi enjin iaitu 2.5 liter V6 VQ25DE.

Sebagai MPV premium, Elgrand dilengkapi teknologi canggih seperti sistem Kawalan Jelajah Adaptif yang membantu pemandu dalam pecutan dan brek terutama sekali di lebuh raya. 

Teknologi ini untuk sebuah MPV pada tahun 2002 adalah begitu canggih dan premium.

Elgrand turut dilengkapi kawalan dinamik kenderaan (VDC) yang menggunakan pelbagai jenis sensor untuk mengesan pergerakan kenderaan dan secara automatik mengawal daya pembrekan pada kesemua empat roda dan output enjin bagi memperbaik tahap kestabilan.

Model 4WD pula dilengkapi sistem All-Mode 4×4 yang membahagikan daya kilas sistem pacuan roda.

Sistem ini dibina mengikut pacuan roda belakang dan mengawal pembahagian daya kilas di antara roda depan dan belakang secara elektronik.

Nisbah pembahagian daya kilas depan dan belakang ialah di antara 0/100 sehingga 50/50 supaya kenderaan kekal stabil di atas pelbagai jenis permukaan jalan.

Dari segi varian, ada lima pilihan iaitu Elgrand XL, L, VG, V dan Highway Star. Varian lebih sporti dan mewah seperti Autech Elgrand dan beberapa lagi diperkenalkan pada tahun-tahun berikutnya.

Untuk harga, Nissan Elgrand paling mampu milik ialah varian V 2WD lapan tempat duduk iaitu JPY2,890,000 (RM112,201 kadar sekarang) dan paling tinggi pula JPY4,500,000 (RM174,708 kadar sekarang) untuk varian XL 4WD tujuh tempat duduk.

Lagi cerita menarik tentang Elgrand apabila Edaran Tan Chong Motor menawarkan generasi kedua (E52) ke pasaran tempatan pada 20 April 2012. Harganya? RM398,342 di atas jalan.

Pada 21 Mei 2014, ETCM melancarkan model Elgrand facelift E pada harga RM388,000 di atas jalan tanpa insurans dan bersaing terus dengan Toyota Alphard yang dibawa secara rasmi oleh UMW Toyota pada harga RM398,000.

Satu perjalanan menarik dan walaupun ETCM sudah menghentikan jualan Elgrand, segmen MPV diteruskan oleh Serena pula.

BACA: NISSAN X-TRAIL BARU BUKTIKAN NISSAN MAHU BERUBAH!

BACA: NISSAN GT-R 2020, AKHIRNYA ADA WARNA IKONIK BAYSIDE BLUE!

BACA: RM61K – HARGA PERMULAAN NISSAN VERSA (ALMERA) DI AS

Google ads
"
"
Back to top button