Motosikal

QJMOTOR BANGUNKAN CAFE RACER DENGAN ENJIN V4 

Ketika di EICMA tahun lalu, QJMotor mengambil kesempatan mempamerkan jentera konsep bergayakan cafe racer yang direka oleh syarikat pereka terkemuka Itali, C-Creative. 

Sepertimana KISKA menjadi tulang belakang kepada reka bentuk motosikal KTM, Husqvarna dan GasGas sebelum ini, C-Creative merupakan pasukan yang bertanggungjawab mereka motosikal QJMotor dan Benelli sejak beberapa tahun ini. 

Untuk rekod, C-Creative merupakan syarikat rekaan yang dibangunkan bekas pereka MV Agusta termasuk bekas CEO, Giovanni Castiglioni, jurutera Paolo Bianchi dan pereka utama, Adrian Morton. 

Terbaru, QJMotor difahamkan telah mula membawa jentera konsep tersebut ke peringkat produksi selepas mendaftarkan rekaan cafe racer tersebut. Lebih menarik, dokumen pendaftaran itu jelas membuktikan bahawa model akan datang itu akan dikuasakan enjin V4. 

Difahamkan, cafe racer dengan enjin V4 itu akan mengguna pakai unit sama yang terdapat pada SRV600 V4 meskipun lakaran 3D menunjukkan reka bentuk enjin yang sedikit berbeza. Ada yang mendakwa model tersebut akan dikuasakan enjin V4 900cc.

Selain itu, dokumen tersebut mendedahkan beberapa perkara antaranya penggunaan fork USD dari Marzocchi dengan penyerap hentak berkembar di belakang. Seperti SRV600 V4, model akan datang itu juga tidak menggunakan rantai sebalinya menggunakan tali sawat. 

Google ads
Back to top button