
NISSAN SERENA E-POWER DILANCAR DI THAILAND, RM221 RIBU!
Selepas Kicks, pasaran Thailand menerima Serena e-Power baharu (C28) dan model kedua di sana dengan teknologi rangkaian kuasa hibrid canggih.
Satu yang menarik apabila Serena e-Power turut dijual bersama Serena generasi kelima (C27) yang baru dilancarkan di Thailand pada November 2024.
Selain Serena, Nissan turut berhasrat untuk membawa lebih banyak model e-Power ke Thailand pada masa depan.
Serena e-Power kekal dengan reka bentuk langsing dan tinggi dan bahagian depan menampilkan gayaan V-Motion baharu yang menonjol.
Serena e-Power dilengkapi bampar depan dan belakang sporty dengan skirt terbina dalam, lampu depan dan belakang LED penuh dan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci.
Turut dilengkapi spoiler bumbung dan sisi yang membantu mengurangkan bunyi bising semasa memandu pada kelajuan tinggi.
Cermin hadapan dan tingkap besar memberikan rasa luas dan mengurangkan mabuk perjalanan.
Cermin hadapan dan tingkap pintu depan menggunakan Kaca Akustik dua lapisan yang berkesan mengurangkan bunyi dari luar.
Bahagian dalaman direka selari dengan gaya hidup era digital, dilengkapi skrin TFT resolusi tinggi 12.3 inci dengan animasi 3D yang boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pengguna.
Sistem Intelligent Around View Monitoring (IAVM) membantu pemandu melihat sekeliling kenderaan dengan lebih jelas.
Susun atur peralatan pada papan pemuka direka untuk kemudahan dan keselamatan maksimum.
Kerusi kulit hitam di semua tiga baris menggunakan struktur Zero Gravity untuk keselesaan maksimum walaupun dalam perjalanan jauh.
Kerusi kapten baris kedua boleh dilaras secara bebas dan dilengkapi meja pelbagai guna, manakala tempat duduk baris ketiga boleh direbahkan dan dilipat.
Terdapat banyak ciri kemudahan seperti ruang penyimpanan besar dengan storan bawah lantai, 17 pemegang cawan, port pengecasan USB-C di setiap baris, serta port Type-A di tempat duduk depan dan pengecasan tanpa wayar.
Turut dilengkapi sistem penghawa dingin automatik tiga zon dengan sistem penulenan udara Plasmacluster yang membantu mengurangkan zarah habuk PM2.5 dalam kabin.
Teknologi e-POWER Nissan terdiri daripada unit pacuan motor elektrik berprestasi tinggi dan enjin pembakaran dalaman baharu khusus untuk teknologi e-POWER.
Unit pacuan motor elektrik menghasilkan sehingga 163 kuasa kuda (hp) dan tork 315 Nm dengan bateri litium-ion 1.77 kilowatt-jam (kWj), membolehkan pecutan pantas dan memotong dengan yakin sama seperti kenderaan elektrik.
Enjin HR14DDe 1.4L 3-silinder yang boleh menerima bahan api E10 menggunakan teknologi Mirror Bore Coating untuk mengurangkan geseran dan bunyi getaran, menghasilkan operasi yang lebih lancar dan senyap.
Ciri e-Pedal Step membolehkan pecutan dan nyahpecutan dengan satu pedal, menjadikan pemanduan di bandar lebih mudah serta membantu meningkatkan regenerasi tenaga untuk mengecas semula bateri secara cekap.
Serena e-POWER dilengkapi teknologi Nissan Safety Shield 360° dan sistem keselamatan aktif serta pasif yang menyeluruh.
Antara ciri keselamatan seperti Amaran Perlanggaran Hadapan Pintar (IFCW), Cermin Pandang Belakang Pintar (IRVM) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Turut dilengkapi Kawalan Jelajah Pintar (ICC), Intervensi Titik Buta Pintar (IBSI), Intervensi Laluan Pintar (ILI) dan Amaran Tersasar Lorong (LDW). Jumlah beg udara sebanyak enam unit.
Serena e-POWER ditawarkan dalam satu varian, Highway Star dan tersedia dalam enam warna seperti dua tona Turquoise Blue dan Prism White dengan bumbung hitam, Prism White, Diamond Black, Gun Metallic dan Brilliant Silver.
Nissan juga menawarkan jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 kilometer, jaminan sistem e-POWER selama 5 tahun atau 150,000 kilometer, serta jaminan 10 tahun tanpa had perbatuan untuk bateri e-POWER.
Nissan Serena e-Power ditawarkan pada harga 1,690,000 baht (RM221,223) dan tempahan untuk pelanggan di Thailand sudah pun dibuka.
Kredit foto: Nissan









