Buletin

NISSAN SERENA e-POWER MULA DIJUAL DI JEPUN

Nissan mengumumkan penjualan MPV Nissan Serena e-POWER sudah bermula pada 1 Mac lalu.

Serena menjadi model kedua dilengkapi sistem e-POWER selepas Nissan Note yang menemui pengguna di Jepun pada tahun 2016.   

Nissan dijangka melancarkan lebih banyak model e-POWER di peringkat global sebagai sebahagian daripada Nissan Intelligent Mobility yang mengubah bagaimana kenderaan dikuasakan, dipandu dan diintegrasi dengan masyarakat.

Serena e-POWER menjanjikan pemanduan yang selesa dan menyeronokkan. Sistem pacuan 100 peratus elektrik itu menawarkan pecutan penuh kuasa.

Sementara mode e-POWER Drive memberi kemudahan untuk memecut dan memperlahankan kenderaan dengan hanya perlu menggunakan pedal minyak.  

Lebih menarik lagi, Serena turut dilengkapi Manner Mode yang membolehkan kenderaan ini dipandu dengan senyap pada waktu malam apabila menghadkan penggunaan enjin yang mengecaj bateri.

Dengan aspek pengurusan enjin dan pengurangan bunyi yang telah dioptimumkan, MPV ini merupakan antara yang paling senyap dalam kelasnya. Gabungan sistem e-POWER dan reka bentuk yang aerodinamik membolehkan jentera ini mencatat penggunaan bahan api sekitar 26.2 km/l (berdasarkan kepada ujian JC08 Jepun).   

Mula diperkenalkan pada tahun 1991, Serena telah mengalami evolusi demi memenuhi keperluan keluarga di seluruh dunia.

Serena memperoleh piawaian standard keselamatan tertinggi Jepun apabila dipasang dengan Intelligent Emergency Braking, Lane-Departure Warning System, High Beam Adjust dan Emergency Assist untuk Missed Pedal Application (optional).

Dari segi penampilan Serena e-POWER dibezakan menerusi rekaan gril, rim aluminium bersaiz 15 inci, spoiler, tuil gear dan paparan pada papan pemuka.

Di pasaran Jepun, jentera ini didatangkan dalam 13 warna bersama pelbagai kemasan custom yang merangkumi rim, lampu LED, tempat duduk dan sebagainya.

Hadir dalam empat varian, ia ditawarkan pada harga bermula 2,968,920 yen (RM109,560) sehingga 3,404,160 yen (RM125,600) seunit.

Google ads
Back to top button