Artikel Pilihan

NISSAN SKYLINE R34 GTT & PERBEZAAN DENGAN GTR

Sejak kebelakangan ini, harga Nissan Skyline R34 GTR melonjak naik dengan cepat. Hal ini disebabkan produksinya yang terhad disamping permintaan yang tinggi di peringkat global.

Tanpa disedari, sebuah lagi jentera yang nampak sama tapi bukan dia turut terkena tempias dek kenaikan harga yang tidak munasabah ini.

Jentera tersebut adalah Nissan Skyline R34 GTT. Frasa GTT ini bukanlah frasa yang formal dikeluarkan oleh pihak Nissan. Frasa formal bagi jentera ini adalah Nissan Skyline R34 25GT Turbo. Lalu diringkaskan menjadi GTT.

Apa yang membuat jentera ini menjadi kegilaan ramai ?

Salah satu faktornya adalah rekabentuknya yang garang dan malar hijau. Disebabkan rekabentuknya yang hampir sama dengan model GTR, jentera ini menjadi pilihan ramai untuk dijadikan kereta projek dan juga di “Convert” dari aspek kosmetik menyerupai GTR.

Untuk pengetahuan, sebenarnya hanya 3 negara sahaja di dunia ini yang menerima unit ini untuk dijual melakui pengedar sah iaitu :-

  • Singapura
  • Hong Kong
  • New Zealand

Oleh yang demikian, model GTT yang anda nampak dijual di Malaysia ini dibawa oleh “Parallel Importer” dari Jepun secara “Recon”.

Sekarang kita pergi kepada spesifikasi jentera ini.

Unum mengetahui bahawa kod chassis bagi GTR adalah BNR34. Kod chassis bagi GTT pula adalah ER34. Kod Chassis ER34 ini dikongsi juga bersama 4 lagi varian iaitu :-

  • 25GT
  • 25GT-X
  • 25GT-V
  • 25GT-X Turbo

Kod chassis ER34 ini adalah berlainan sama sekali dari BNR34 dari segi kejituan dan juga proses pembuatan. Kod ini juga menunjukkan bahawa jentera ini mempunyai “Layout” pacuan roda belakang dan bukannya pacuan semua roda seperti BNR34.

Nissan Skyline R34 GTR dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda Atessa E-TS. Manakala, bagi Nissan Skyline R34 GTT pula kuasa sepenuhnya dihantar ke tayar belakang. Oleh itu, perbezaan dari segi pengendalian bagi kedua-dua jentera ini adalah sangat ketara.

Masih lagi di dalam sistem pengendalian. Terima kasih diucapkan kepada pihak Nissan kerana meletakkan sistem “High Capacity Actively Controlled Steering” atau lebih dikenali sebagai HICAS pada model GTT sepertimana yang ada pada model GTR. Sistem ini merupakan sistem “Four Wheel Steering” dimana tayar belakang turut membelok sekiranya stering di pusing. Cuma dalam darjah yang terhad. Iai memberikan kelebihan dari segi pengendalian ketika mengambil selekoh dalam kelajuan yang tinggi.

Seterusnya kita pergi kepada sistem suspensi. Walaupun nampak sama, tetapi ada juga perbezaan dimana “Spring Rate” untuk model GTR adalah lebih tinggi berbanding model GTT. “Spring Rate” yang tinggi digunakan adalah kerana model GTR lebih berat. Penyerap hentak yang digunakan juga berlainan. Penyerap hentak GTR di bahagian depan adalah lebih pendek berbanding GTT. Sekiranya anda mahu “upgrade” sistem suspensi GTT, jenis “Adjustable” adalah pilihan terbaik. Bermacam-macam jenama ada di pasaran baik yang murah atau mahal.

Kita pergi pula kepada sistem brek. Pihak Nissan membekalkan angkup brek 4 piston pada bahagian hadapan dan 2 piston pada bahagian belakang dari Sumitomo(Cop Nissan). Manakala rotor pula adalah bersaiz 310mm pada bahagian hadapan dan 297mm pada bahagian belakang. Model GTR pula menerima angkup brek 4 piston pada bahagian hadapan dan 2 piston pada bahagian belakang dari Brembo. Rotor yang dibekalkan adalah bersaiz 324mm pada bahagian hadapan dan 300mm pada bahagian belakang. Dari segi “Stopping Power”, GTR adalah lebih baik. Boleh “swap” ? Boleh. Kalau nak lagi padu, masuklah Endless 6 Mono. Harganya suku harga model GTT sekarang. Haha.

Kita pergi pula kepada saiz rim dan tayar. Model GTT dibekalkan dengan rim bersaiz 17 inci disaluti dengan tayar bersaiz 225/45R17. Model GTR pula dibekalkan dengan rim bersaiz 18 inci diselaputi tayar bersaiz 245/40R18 pada bahagian hadapan dan 265/35R18 pada bahagian belakang. PCD pada kedua dua model adalah 5×114.3. Oleh itu, set rim dan tayar GTR boleh dipakai pada GTT tanpa sebarang masalah. Sekiranya mahukan kelainan, boleh cuba CE28 atau TE37. Tak suka ? Boleh juga usha jenama lain. Ikut selera anda.

Kemasan dalaman bagi model GTR dan GTT adalah berbeza sama sekali. Dari kerusi, meter, papan pemuka dan bermacam-macam lagi. Cuma yang paling ketara adalah keadaan papan pemuka dimana model GTR mempunyai “Multi Function Display” atau “MFD Screen” di bahagian tengah papan pemuka. GTT pula mempunyai 3 unit meter yang menunjukkan nilai voltan bateri, suhu minyak dan “Boost”. Kadang-kadang bila dan “Convert”, dari luar mmg nampak sebiji macam GTR, bila masuk dalam tengok ada 3 meter ni. Sahih “Convert”.

Kita pergi pula kepada bahagian enjin jentera ini.

Model GTT menerima enjin berkod RB25DET NEO bersesaran 2,498cc(2.5L) 6 silinder sebaris. Enjin ini menggunakan blok yang diperbuat daripada “Cast Iron”. Nilai “Bore x Stroke” pula adalah 86mm x 71.7mm. Jika dilihat pada angka, enjin ini merupakan sebuah enjin “Oversquare” dimana nilai “Bore” adalah lebih besar daripada “Stroke”. Antara kelebihan enjin “Oversquare” adalah ia mampu disesah pada RPM tinggi tanpa memberikan masalah.

Seterusnya blok enjin ini dikahwinkan bersama kepala silinder. Kepala silinderenjin ini diperbuat daripada alumunium. Kelebihan bagi RB25DET yang terdapat jentera GTT ini adalah unit kepala silinder yang baru dan unit kepala silinder ini lah yang dipanggil NEO. NEO bermaksud “Nissan Ecology Oriented Variable Valve Timing”. Ya Tuan-Tuan. Enjin ini mempunyai sistem VVT yang mampu mengoptimumkan penggunaan bahan api tanpa mengenepikan aspek kuasa. Dengan sistem ini jugalah enjin RB25DET ini mendapat pengiktirafan “Low Emission Vehicle” atau LEV disebabkan penggunaan bahan apinya yang rendah.Antara pembaharuan yang dibuat pada kepala silinder ini berbanding RB25DET pada Nissan Skyline R33 adalah :-

  • Menggunakan “Solid Lifter”
  • Unit “Camshaft” yang diperbaharui dengan durasi 236/232 degree
  • “Head Flow” yang ditambah baik
  • “Intake Ports” dan “Combustion Chamber” yang ditambah baik
  • 82° C Termostat

Pembaharuan yang dilakukan ini meningkatkan nisbah mampatan kepada 9.0:1.

Sistem bahanapi juga menerima pembaharuan dimana ia menerima rekaan “Intake Manifold” yang baru. Ia kemudian dipadankan bersama sistem “Multi Point Fuel Injection” bersama “Injector” bersaiz 340cc. Sistem masukan udara menerima satu unit turbo 45V3 dan “Boost” di set pada 0.7 bar.

Dengan tetapan sebegini rupa, enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 276hp pada 6,400rpm dan daya kilas sekuat 362Nm pada 3,200rpm. Cukup kuat untuk menggerakkan jentera seberat 1.4 tan ini.

Kuasa yang dihamburkan ini kemudian dihantar ke kotak gear jenis 5-kelajuan manual atau 4-kelajuan automatik. Seterusnya kuasa dihantar ke “Rear Differential” yang dilengkapi dengan LSD. Gabungan kuasa enjin serta sistem transmisi ini mampu memacu jentera ini dari 0-100km/h secepat 6 saat dan kelajuan tertinggi pada 250km/h.

Nissan Skyline R34 GTR menggunakan enjin RB26DETT yang memang kita tahu lagi berkuasa. Namun, apa yang ada pada Nissan Skyline R34 GTT ini tidak kurang hebatnya. Malah, terdapat berlonggok-longgok “Aftermarket Performance Parts” yang terdapat dipasaran bagi membolehkan kerja-kerja naiktaraf dilakukan pada enjin RB25DET ini. Sesungguhnya enjin ini potensinya tinggi. Setakat 500hp tiada masalah untuk ditampung oleh “Stock Internal” enjin ini. Berani tak berani je lah.

Apa yang saya boleh rumuskan, jentera ini berbaloi untuk dimiliki. Nak kekalkan “Stock Look” boleh, nak “Convert” pun boleh. Ikut selera anda. Sekiranya mahu naiktaraf kuasa, naik taraf sekali aspek pengendalian, brek dan skil memandu. Bukan senang nak menjinakkan lebih 400hp yang disalurkan pada hanya tayar belakang. Silap sikit, boleh melayang nyawa.

Sekarang harganya di pasaran adalah sekitar RM100,000 – RM200,000 bergantung kepada spesifikasi modifikasi dan kondisi. Dengan harga sebegini rupa, pilihan JDM sukan yang lain adalah Nissan 300ZX, Mitsubishi Lancer Evolution, Honda Civic Type R. Dan mungkin banyak lagi. Tepuk dada, cek akaun bank.

Saya harap perkongsian kali ini dapat membantu anda untuk membezakan GTT dan GTR disamping memberikan anda sedikit tips bagi memilih unit terbaik untuk anda.

Google ads
Back to top button