Artikel Pilihan

TALI SAWAT BERBUNYI?? JANGAN GUNA WD-40

Bunyi berdecit atau berbunyi yang datang dari ruang enjin ketika kereta dihidupkan sememangnya boleh mengganggu pemanduan. Dalam kebanyakan keadaan, bunyi tersebut mungkin berpunca daripada tali sawat pemacu enjin (engine drive belt) yang sudah haus, longgar atau tidak mencengkam takal (pulley) dengan sempurna.

Namun menyembur WD-40 pada tali sawat dengan harapan bunyi berkenaan akan hilang merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh pemilik. Walaupun nampak seperti penyelesaian sementara yang mudah, tindakan tersebut sebenarnya tidak digalakkan kerana boleh memburukkan lagi keadaan.

Semburan aerosol WD-40 bukanlah produk yang direka khusus untuk mengatasi masalah bunyi pada tali sawat enjin. Walaupun produk ini terkenal dengan pelbagai kegunaan dalam penyelenggaraan automotif seperti menyingkirkan kelembapan, melonggarkan komponen berkarat dan membantu melindungi permukaan logam, ia bukan bahan yang sesuai untuk digunakan pada tali sawat pemacu.

Enjin moden menggunakan serpentine belt, iaitu sejenis tali sawat panjang yang digunakan untuk memacu beberapa komponen enjin menggunakan satu sistem pemacu yang sama. Bergantung kepada reka bentuk enjin, tali sawat ini boleh memacu alternator, kompresor penyaman udara, pam stereng kuasa dan pam air.

Alternator bertanggungjawab menjana tenaga elektrik serta mengecas bateri, manakala pemampat penyaman udara menggerakkan sistem pendingin hawa. Bagi kenderaan yang menggunakan pam air dipacu tali sawat, komponen tersebut pula memainkan peranan penting dalam memastikan sistem penyejukan enjin berfungsi dengan baik.

Tali sawat ini bergantung kepada geseran dan cengkaman yang mencukupi antara permukaan getah dengan takal untuk memindahkan kuasa daripada aci engkol kepada komponen lain. Apabila WD-40 disembur pada permukaannya, lapisan bahan tersebut boleh mengurangkan tahap cengkaman dan menyebabkan tali sawat tergelincir ketika beroperasi.

Keadaan ini bukan sahaja boleh menyebabkan bunyi berdecit menjadi lebih ketara, malah berpotensi mengganggu operasi komponen yang digerakkannya. Sebagai contoh, alternator mungkin tidak dapat mengecas bateri dengan sempurna sekiranya tali sawat mengalami gelinciran.

Bagi sistem yang menggunakan pam air dipacu tali sawat, masalah sama juga boleh menjejaskan peredaran coolant dan meningkatkan risiko enjin mengalami panas melampau. Malah sisa bahan yang tertinggal pada permukaan tali sawat boleh menyebabkan habuk dan kotoran lebih mudah melekat yang berpotensi mempercepatkan pencemaran permukaan tali sawat dan menjejaskan prestasinya.

Sebenarnya bunyi yang datang daripada kawasan tali sawat mungkin berpunca dari ketegangan tali sawat yang tidak mencukupi, tensioner yang sudah lemah, bearing pulley yang rosak atau kedudukan takal yang tidak sejajar. Tali sawat yang sudah mengalami kehausan juga boleh kehilangan keupayaan untuk mencengkam takal dengan sempurna.

Faktor luaran lain seperti pencemaran daripada minyak enjin, coolant atau bahan pelincir turut boleh menjejaskan permukaannya. Jadi langkah terbaik ialah melakukan pemeriksaan terhadap keseluruhan sistem pemacu tali sawat sebelum membuat keputusan untuk menukar mana-mana komponen.

Jika tali sawat sudah mengalami keretakan, permukaan berbulu, bahagian getah terkopek atau alurnya haus, penggantian mungkin diperlukan. Masalahnya ialah tali sawat moden yang menggunakan bahan EPDM (Ethylene Propylene Diene Monomer) yang lebih tahan terhadap haba dan kehausan, tetapi tidak semestinya menunjukkan keretakan yang jelas apabila sudah haus.

Apa yang lebih penting, jika punca bunyi datang daripada tensioner atau bearing pulley yang sudah rosak, penggunaan sebarang semburan pada permukaan tali sawat tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Komponen yang bermasalah tetap perlu diperiksa dan diganti sekiranya sudah tidak berfungsi dengan baik.

Google ads
Back to top button