
SOROK DADAH RM6.43 JUTA DALAM BENTLEY FLYING SPUR, 2 LELAKI DITAHAN
Taktik dua lelaki mengubah suai kenderaan mewah bagi menyembunyikan dadah terbongkar apabila sebuah Bentley Flying Spur ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng, Rabu lalu.
Difahamkan, kereta berwarna kelabu itu singgah ke Gopeng untuk mencari bengkel kerana dipercayai mengalami kerosakan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Gopeng pada pukul 7.30 petang.
Pemeriksaan pada kenderaan itu menemukan 117 bungkusan teh Cina yang mengandungi 122.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di ruang penyimpanan barang bahagian belakang kenderaan yang telah diubah suai.

“Kedua-dua suspek dan kereta tersebut dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk pemeriksaan lanjut di mana enam lagi bungkusan teh Cina ditemukan dalam kenderaan itu.
“Pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kampar menemukan bahan terlarang seberat 6.28 kg itu di ruang penyimpanan tayar tambahan di bahagian belakang kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.
Keseluruhan rampasan 128.78 kilogram dadah jenis methamphetamine itu dianggarkan bernilai RM6,439,000. Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM3,390. Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati lelaki berusia 41 tahun positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan dari Johor ke utara dan dadah berkenaan adalah untuk pasaran utara. Pemeriksaan mendapati, suspek yang juga ahli perniagaan itu menggunakan surat rentas negeri untuk melepasi SJR namun dokumen berkenaan telah tamat tempoh,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan ke atas rekod lampau mereka mendapati lelaki berusia 47 tahun itu mempunyai empat rekod lampau bersabit kes dadah dan satu rekod jenayah,” katanya. – Utusan Malaysia
- BACA: KASTAM FILIPINA LUPUS KERETA SELUDUP BERNILAI RM5 JUTA. ADA MCLAREN 620R, PORSCHE 911, LOTUS ELISE DAN BENTLEY
- BACA: RAPPER DIDDY HADIAHKAN HARI JADI IBU DENGAN BENTLEY MULSANNE DAN CEK RM4 JUTA. UNTUNG LAH…
- BACA: BENTLEY BENTAYGA SIAP EKZOS AKRAPOVIČ!
- BACA: SELAMAT TINGGAL ENJIN BENTLEY L-SERIES V8, DARI 1959-2020!