Buletin

NOMBOR PLAT SATU HURUF, ‘R’ DILELONG PADA HARGA RM139 JUTA DI HONG KONG

Nombor plat satu huruf, ‘R’ telah dilelong pada harga mencecah AS$32 juta (RM139 juta) oleh Jabatan Pengangkutan di Hong Kong. Ini menjadikannya kedua termahal selepas nombor plat satu huruf ‘W’ yang terjual pada harga AS$33 juta (RM144 juta) pada 2021.

Nombor plat satu huruf “R” merupakan antara 49 plat untuk direbut pada lelongan yang diadakan di Pusat Konvensyen & Pameran Hong Kong di Wan Chai.

Sejumlah AS$39.1 juta (RM170 juta) berjaya dikutip dalam lelongan itu dengan 41 plat kereta terjual.

Selepas kira-kira 60 bidaan, seorang wanita akhirnya berjaya mendapatkan nombor  plat kereta itu dengan harga AS$32 juta (RM139 juta), atau 5,100 kali ganda berbanding harga permulaan.

Selain itu, plat kereta “292” dijual pada harga AS$108,279 (RM471,771) kedua tertinggi dalam lelongan semalam.

Pemilik pembekal nombor pendaftaran Lucky Number Center, Ngan berkata dia tidak terkejut plat “R” akan dibeli pada harga AS$32 juta (RM139 juta).

“Sukar untuk menganggarkan berapa banyak bilionair sanggup membayar untuk plat kereta. Ia tidak mengejutkan jika ia dijual pada harga AS$63 juta (RM274 juta) pada masa hadapan,” katanya.

Ngan berkata golongan kaya menganggap plat kereta sebagai pelaburan dan plat satu huruf atau satu nombor adalah yang paling digemari oleh pembida.

Daripada 186 plat kereta yang dijual, plat lesen “10VE Y0U” juga mencuri tumpuan apabila dilelong pada harga AS$39,490 (RM172,057), diikuti oleh “1 RR” pada AS$14,012 (RM61,050), “N0THANKS” pada AS$5,095 (RM22,198) dan “0NE 1ST” pada AS$3,566 (RM15,537).

“Hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan, selepas ditolak perbelanjaan, akan disalurkan kepada Dana Loteri Kerajaan untuk tujuan kebajikan,” kata jurucakap Biro Pengangkutan semalam.

Beliau turut mengingatkan mereka yang membeli plat kereta peribadi perlu memohon kepada pesuruhjaya untuk mendapatkan tanda pendaftaran kenderaan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh lelongan.

Google ads
Back to top button