
60,000 TIKET PENERBANGAN PERCUMA UNTUK PENDUDUK HONG KONG SUDAH DIVAKSIN
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong (AA) menawarkan 60,000 tiket penerbangan percuma kepada individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk meningkatkan industri penerbangan.
Menurut laporan Global Times, pihak berkuasa tersebut akan memberikan 50,000 tiket penerbangan percuma kepada penduduk Hong Kong yang telah mengambil vaksin sehingga penghujung September tahun ini.
Bagi lebihan 10,000 lagi, ia diperuntukkan kepada petugas lapangan terbang.
“Kami berharap industri penerbangan akan pulih semula secepat mungkin.
“Jumlah individu yang divaksin penting untuk pemulihan awal industri penerbangan,” kata Pengerusi AA, Jack So.
Biarpun program imunisasi bandar raya itu berjalan lancar dengan penduduknya boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di hospital dan pusat komuniti secara percuma, masih ramai enggan disuntik kerana tidak percayakan pemerintah dan bimbangkan kesan sampingan.
Angka kematian bagi individu yang sudah menerima vaksin juga dikongsi meluas oleh media tempatan sekali gus menambahkan lagi perasaan skeptikal orang ramai terhadap vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada kematian yang disahkan akibat vaksin Covid-19.
Kurang 20% populasi Hong Kong yang berjumlah 7.5 juta orang telah menerima dos vaksin Covid-19 pertama mereka sehingga kelmarin manakala daripada jumlah itu, sebanyak 14 peratus telah divaksin sepenuhnya.
Terdahulu, pemerintah dilaporkan menghubungi selebriti dan pesohor media sosial untuk menjadi duta imunisasi Hong Kong.
Seorang pakar kesihatan mencadangkan bintang Cantopop terkenal iaitu Keung To dijadikan duta program vaksin memandangkan dia cukup digilai oleh anak muda. -agensi
- BACA: AGENSI PELANCONGAN THAILAND TAWAR PAKEJ SUNTIK VAKSIN DI AMERIKA DAN RUSIA
- BACA: RENTAS SEMPADAN DIPERTIMBANG SELEPAS 80% RAKYAT DIVAKSIN
- BACA: AIRBUS MALAYSIA AIRLINES BAKAL TEMPA SEJARAH TERBANGKAN VAKSIN COVID-19
- BACA: MAHU BERI KEYAKINAN KEPADA PENUMPANG, SEMUA KAKITANGAN ETIHAD SUDAH DIVAKSIN







