Buletin

NOTE DAN NOTE AURA MENANG KERETA JEPUN 2021-22, KALI KE-5 NISSAN MENANG!

Nissan sebenarnya mempunyai banyak model yang bagus dan menarik. Cumanya tidak semua negara menerima model-model tersebut yang dibahagikan mengikut pasaran.

Sebagai contoh pasaran Amerika Syarikat ditawarkan dengan sedan yang lengkap dari Versa (Almera), Sentra (Sylphy), Altima (Teana) dan Maxima.

Di negara kita hanya tinggal Almera dan di Amerika Syarikat MPV Serena tidak ditawarkan. Lebih menarik apabila Nissan GT-R ditawarkan secara rasmi di Thailand dan tidak di negara kita.

Penawaran tersebut mengikut strategi dan pelbagai lagi faktor lain. Selain model menarik, Nissan juga mempunyai model elektrik LEAF yang turut ditawarkan di negara kita sejak generasi pertama lagi.

Jika LEAF terlalu canggih atau masih belum bersedia untuk menerima EV, Nissan menawarkan Note yang menggunakan teknologi e-POWER.

Teknologi tersebut menggabungkan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik yang memacu roda.

Maksudnya, enjin membekalkan tenaga atau bertindak sebagai generator kepada motor elektrik yang kemudian menggerakkan roda.

Nissan Note

Nissan Note adalah model Nissan pertama yang menggunakan teknologi e-POWER dan diperkenalkan di Jepun pada tahun 2016.

Pada masa itu Note generasi kedua sudah berada di pasaran sejak tahun 2012 dan nadi e-POWER turut ditawarkan bersama pilihan enjin lain.

Note generasi ketiga diperkenalkan di Jepun pada November 2020 dan kali ini hanya rangkaian kuasa e-POWER ditawarkan.

Secara asasnya, Note digerakkan enjin 1.2 liter HR12DE dengan motor elektrik EM47 untuk pacuan roda depan (2WD) dan tambahan motor elektrik EM48 bagi model pacuan semua roda (AWD).

Pada ketika ini, Nissan sudah mula mengeksport teknologi e-POWER ke beberapa negara lain dengan Thailand dan Indonesia ditawarkan Kicks e-POWER pada Mei dan September 2020.

Seperkara yang menarik apabila Thailand adalah negara kedua di dunia selepas Jepun yang mengeluarkan rangkaian kuasa hibrid e-POWER.

Apa lagi berita terbaru tentang model keluaran Nissan? 

Note dan Note Aura baru sahaja dinamakan sebagai Kereta Jepun Tahun (Japan Car of the Year) 2021-22. Ini adalah kemenangan yang kelima buat Nissan.

Dengan pakej yang ditawarkan pada Note dan Note Aura tidak menghairankan kenapa ianya terpilih. Ada rupa, gaya dan canggih dengan teknologi e-POWER.

Tapi kenapa ada dua Note dan Note Aura?

Note Aura diperkenalkan pada Jun 2021 dan tampil lebih mewah berbanding Note biasa dan kereta pertama di Jepun yang dilengkapi sistem bunyi Bose Personal Plus.

Bukan setakat Aura, Nissan mempunyai beberapa lagi varian seperti Note Aura Nismo dan Note Autech Crossover.

Berapa harga?

Di Jepun, Note 2WD G dijual pada harga 2,029,500 yen (RM75,459) dan 2,610,300 yen (RM97,054) untuk Note Aura 2WD G.

Harga tersebut lebih rendah berbanding LEAF dan nampak sesuai jika dijual di negara kita. Lagi pula, tidak semua pengguna bersedia untuk menerima EV.

BACA: NISSAN BAWA GT-R T-SPEC KE THAI, SEMUA HABIS! GT-R R35 PUN SAMA!

BACA: NISSAN NOTE AUTECH CROSSOVER, HARGA DARI RM93K DI JEPUN!

BACA: PADA 2013 NISSAN MARCH NISMO DIPERKENAL, COMEL DAN SPORTI

Google ads
Back to top button