" "
Buletin

NISSAN NOTE AUTECH CROSSOVER, HARGA DARI RM93K DI JEPUN!

Kenderaan buatan Nissan tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan jenama Jepun lain. Nissan mempunyai produk yang pelbagai dari kei-car sehingga model ikonik GT-R.

Teknologi Nissan juga hebat seperti yang boleh dilihat pada model elektrik LEAF atau Note dengan nadi range extender e-POWER.

Ini yang meletakkan Nissan sebagai pengeluar versatil, ada pelbagai produk untuk pengguna kebanyakan dan pada sama mengeluarkan model berprestasi dan ke hadapan dengan teknologi elektrifikasi.

Selain itu, kenderaan buatan Nissan tampil segak dengan kit dari NISMO, Impul atau Autech. Lihat sahaja penawaran model-model Nissan di negara kita sampaikan SUV X-Trail ditawarkan dengan kit sporti.

Pada 7 Oktober Nissan dan Autech mengumumkan satu lagi penawaran baharu untuk pelanggan di Jepun iaitu Note Autech Crossover.

Autech Japan Inc. adalah subsidiari Nissan dan berbeza dengan penala lain tampil sporti dan premium.

Dengan itu gayaannya lebih sederhana, classy dan tidak keterlaluan. Bukan semua pelanggan mahukan gaya menyerlah seperti kereta lumba di litar.

Note Autech Crossover baharu tampil dengan gril depan corak berbintik (dot pattern) yang merupakan identiti penala tersebut.

Juga istimewa ialah lampu LED warna biru, cermin sisi dengan kemasan besi (metal finish), pelindung ambang pintu, arka roda, roof molding dan roda aloi eksklusif saiz 16 inci.

Gayaan begini menampakkan Note Autech Crossover seperti model active yang popular di kalangan pengeluar sekarang. 

Satu lagi ciri istimewa ialah Autech Crossover dilengkapi suspensi talaan khas dan tayar dengan diameter lebih besar (195/60R16 89H) yang menjadikan jarak kelegaan bumi 25 mm tinggi berbanding model biasa.

Perubahan itu menjadikan Autech Crossover lebih mudah untuk dikendalikan pada permukaan tidak rata dan jalan bersalji.

Pegas (spring), penyerap hentak dan stereng berkuasa ditala khas untuk keselesaan pemanduan sama ada untuk pemanduan harian atau pun semasa off-road. 

Dengan segala kelengkapan dan talaan tersebut barulah nampak sebagai sebagai model active sejati.

Pada bahagian dalam, tema gelap digunakan dan dilengkapi kerusi balutan kulit yang mendakap badan (body-fitting).

Untuk warna badan, ada lapan pilihan dengan Premium Horizon Orange dan bumbung Stealth Gray ditawarkan khusus untuk Autech Crossover.

Untuk nadi kuasa pula, Autech Crossover menggunakan enjin HR12DE-EM47 dengan pacuan dua roda dan HR12DE-EM47-MM48 untuk pacuan empat roda. 

Teknologi e-POWER tidak memerlukan Note untuk dicas seperti kereta elektrik dan tugas tersebut diambil oleh enjin pembakaran dalaman sebagai penjana (generator).

Harga untuk dua varian Nissan Note Autech Crossover ialah 2,537,700 yen (RM92,601) dan 2,796,200 yen (RM102,034).

BACA: NISSAN SERENA AUTECH – VERSI SPORTY & MEWAH KENDERAAN NISSAN

BACA: PADA 2005 NISSAN WINGROAD DIPERKENAL – SIRI AKHIR AD RESORT

BACA: PADA 2013 NISSAN MARCH NISMO DIPERKENAL, COMEL DAN SPORTI

Google ads
Back to top button