
FAIL VOLVO DICEROBOH, DATA R&D KENA CURI!
Isu keselamatan siber memang perlu diberi perhatian besar. Sekarang ini segala data disimpan sama ada di dalam komputer, pelayan (server) atau storan awan (cloud storage).
Apabila disimpan bagaimana hendak memastikan ianya selamat daripada diceroboh dan segala maklumat dicuri?
Ini di antara risiko dan nampaknya berlaku pada Volvo Cars. Syarikat memaklumkan satu daripada fail simpanannya telah diakses secara haram oleh pihak ketiga.
Hasil siasatan setakat ini mendapati harta penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat berjaya dicuri.
Jumlah data yang dicuri tidak besar namun tetap penting dan Volvo Cars memaklumkan ianya bakal menjejaskan operasi syarikat.
Selepas mengesan akses haram tersebut, pihak syarikat dengan segera mengambil langkah kawalan termasuk menghalang pencerobohan lanjut dan memaklumkan pihak berkuasa.
Pihak syarikat sedang melalukan siasatan dalaman dan bekerjasama dengan pakar pihak ketiga bagi menyiasat kecurian tersebut.
Bagaimana dengan kenderaan pelanggan? Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana kereta sekarang canggih dengan teknologi kesalinghubungan (connectivity).
Volvo Cars memaklumkan berdasarkan maklumat yang ada ianya tidak mempunyai impak kepada keselamatan dan sekuriti kereta pelanggan atau data peribadi.
Sementara itu di dalam perkembangan berlainan, Volvo Cars mencatatkan prestasi kewangan yang baik pada tahun ini.
Jualan 11 bulan pertama tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 8.8 peratus kepada 634,257 unit kenderaan dan bakal menyaksikan jualan lebih tinggi berbanding tahun 2020.
Jualan pada November bagaimanapun menyusut 20.7 peratus kepada 52,793 unit berbanding bulan sama tahun lalu.
Penurunan itu berpunca daripada kekurangan bekalan yang menjejaskan pengeluaran dan penghantaran kepada pelanggan.
Negara yang mencatatkan jualan tertinggi adalah China sebanyak 157,034 unit dan diikuti Amerika Syarikat dengan jumlah 111,733 unit. Jualan di benua Eropah pula sebanyak 264,910.