Buletin

NISSAN BAWA GT-R T-SPEC KE THAI, SEMUA HABIS! GT-R R35 PUN SAMA!

Pada September 2021, Nissan melancarkan edisi istimewa GT-R T-Spec di Jepun dengan pengeluaran dihadkan kepada 100 unit sahaja.

Lebih menarik apabila Nissan pada Oktober mengumumkan GT-R T-Spec bakal dijual di negara jiran kita, Thailand.

Bukan kali ini sahaja, Nissan GT-R sememangnya dijual secara rasmi di sana. 

Selepas diumumkan, Nissan membawa GT-R T-spec ke Thailand pada awal Disember sempena Ekspo Kenderaan Antarabangsa Thailand ke-38.

Tahukah anda apa yang lebih menarik? Kesemua GT-R T-Spec termasuk GT-R untuk pasaran Thailand telah pun habis terjual!

Nissan tidak berkongsi berapa unit GT-R T-Spec dan GT-R untuk pasaran sana namun apa yang jelas semua dah habis.

Untuk makluman, GT-R T-Spec bukan murah dan ditawarkan pada harga 12.2 juta baht (RM1,536,397)!

Memandangkan ianya adalah model dari pengedar rasmi, GT-R T-Spec didatangkan dengan tiga tahun jaminan atau 100,000 kilometer dengan bantuan tepi jalan 24 jam.


Selain itu, pemilik boleh menghantar GT-R mereka untuk diselenggara di Pusat Prestasi Tinggi Nissan di Nissan Krungthai Ramintra Km.4 dengan juruteknik yang dilatih di Jepun.

Sebuah lagi model yang ditawarkan di Thailand ialah GT-R Premium Luxury pada harga ‘lebih rendah’ iaitu 10.7 juta baht (RM1,348,539).

Dari segi spesifikasi, GT-R T-Spec istimewa dengan komponen seperti brek seramik karbon, spoiler gentian karbon, penutup enjin khas dan logo edisi khas di depan dan belakang.

 

Pada bahagian luar, model ini dipasangkan roda aloi Rays warna gangsa saiz 20 inci dan dua pilihan warna baharu iaitu Millennium Jade dan Midnight Purple selain empat warna sedia ada.

Bahagian dalam pula menggunakan warna Mori Green dengan kerusi balutan kulit dan suede riasan mutiara, pelapik bumbung Alcantara, logo T-Spec dan corak warna emas pada kick plate.

Di sebalik nama yang diberikan, T-Spec dipengaruhi oleh dua perkataan iaitu Trend dan Traction. 

Dua perkataan itu pula merujuk kepada karakter GT-R iaitu pencipta trend (trend maker) dan hebat dari segi cengkaman (traction master).

Dari segi kuasa, enjin 3.8 liter V6 turbo berkembar menghamburkan 555 hp dengan tork 632 Nm dan kuasa enjin itu dihantar ke empat-empat roda GT-R.

Walaupun dikeluarkan sejak dari tahun 2009, Nissan sentiasa memperbaharui GT-R ditambah pula dengan peminat yang sentiasa memburunya.

Lagi pula reka bentuk GT-R sentiasa nampak seperti baru sahaja dilancarkan. Ini lah kereta yang tak lapuk dek zaman!

Google ads
Back to top button