Buletin

RM61K – HARGA PERMULAAN NISSAN VERSA (ALMERA) DI AS

Apabila diimbas kembali, sudah beberapa kali kami memaparkan berita tentang Versa atau Almera baharu. Model ini diperkenalkan di Amerika Syarikat pada April lalu dan kemudian pada Jun kami memaklumkan Edaran Tan Chong Motors (ETCM) mengesahkan tentang penawaran Almera pada tahun depan.

Berita tersebut dikukuhkan dengan unit ujian Almera yang berjaya dirakam di jalan raya Thailand. Almera memang wajar diganti kerana ia sudah berada di pasaran tempatan sejak dari tahun 2012 lagi dan berulang kali disegarkan dengan pelbagai pakej kit badan seperti NISMO, Impul dan Tomei.

Almera baharu hadir dengan pakej yang menawan dan jauh meninggalkan model sedia ada sama ada dari segi reka bentuk luaran dan dalaman dan juga teknologi.

Cuma apabila banyak perkara lebih menarik dan canggih berapakah pula harganya?

Nissan baru sahaja membuat pengumuman di Amerika Syarikat dan harga Almera baharu yang disyorkan bermula daripada USD14,730 (RM61,232).

Harga tersebut adalah untuk varian Versa S 1.6 5MT dan ia masih lagi di dalam lingkungan berpatutan. Sebagai perbandingan, Versa generasi terdahulu dijual pada harga USD12,360 untuk varian 1.6 5MT.

Harga sedikit naik namun masih boleh diterima disebabkan model baharu ini tampil lebih baik berbanding generasi terdahulu.

Berikut ialah perincian harga yang disyorkan, tidak termasuk bayaran destinasi dan pengendalian berjumlah USD895:

Varian/Enjin/Transmisi

Harga USD/RM 

Versa S 1.6 5MT

14,730/61,232

Versa S 1.6 Xtronic

16,400/68,174

Versa SV 1.6 Xtronic

17,640/73,329

Versa SR 1.6 Xtronic

18,240/75,823

*USD 1 = RM4.16

Versa generasi ketiga ini canggih dengan teknologi Nissan Safety Shield 360 yang mengandungi teknologi bantuan pemanduan dan pencegahan keselamatan yang biasanya dilengkapi pada model lebih premium.

Ciri ini ditawarkan secara standard untuk dua varian teratas iaitu Versa SD dan Versa SR.

Di antara kelengkapan Nissan Safety Shield 360 ialah Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Brek Belakang Automatik, Amaran Penukaran Laluan, Bantuan Lampu Puncak, Amaran Titir Buta dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang. Turut ditawarkan ialah Intelligent Driver Alertness4 dan Kawalan Jejalah Pintar.

Apabila dilancarkan di pasaran tempatan kelak, bolehkah Almera generasi ditawarkan pada harga seperti model sedia ada?

Sukar untuk menjawabnya dan sebagai perbandingan Almera yang dijual sekarang ditawarkan daripada RM65,600 untuk varian 1.5L E MT, RM68,100 untuk 1.5L E AT dan RM77,300 untuk 1.5L VL AT.

Nissan Almera Black Series – Varian terbaru di pasaran tempatan

Harga tersebut sebenarnya jauh lebih rendah berbanding dua sedan segmen B Jepun iaitu Honda City dan Toyota Vios.

Memandangkan Almera baharu lebih menawan dan moden, kami menjangkakan harga yang akan ditawarkan kelak adalah di dalam lingkungan City dan Vios iaitu daripada RM73,000 sehingga RM87,000.

Harga tersebut kelihatan munasabah apabila dibandingkan dengan versi Amerika Syarikat dan kami mengharapkan ETCM turut menawarkan pakej Nissan Safety Shield 360 yang sama untuk Almera tempatan.

Google ads
Back to top button