Pandu Uji

NISSAN X-TRAIL BARU BUKTIKAN NISSAN MAHU BERUBAH!

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah menjemput sekumpulan pihak media untuk memandu uji SUV Nissan X-Trail terbaru. Sejujurnya, pertama kali melihat versi facelift ini dalam brosur jualan, tiada apa yang menarik minat saya pun. Sekali pandang nampak sama.

KECUALI, Nissan menampilkan satu varian tambahan – Hybrid dan satu perkara yang menarik minat saya ialah bagaimana Nissan mula respon kepada standard pasaran, mereka mula memadankan sistem Nissan Safety Shield 360.

Sistem keselamatan aktif ini adalah bukti pertama bahawa Nissan di pasaran tempatan tidak mahu lagi memasarkan kereta yang sekadar bergerak dari poin A ke B. Mereka mahu lebih kompetitif dan hasilkan kenderaan yang seronok dan selamat dipandu.

Nissan X-Trail generasi ketiga ini dipertontonkan kali pertama di Pameran Kenderaan Frankfurt 2013. SUV ini kemudian dilancarkan di negara kita pada Januari 2015.

Saingan utama X-Trail ketika itu semestinya Mazda CX-5 dengan pakej menarik dan Honda CR-V generasi keempat yang sudah pun menghampiri kitaran akhir produk. X-Trail hadir hebat dengan ruang yang lebih besar dan tujuh tempat duduk (5+2) berbanding CR-V dan CX-5.

Namun satu perkara mengecewakan ialah di kala Proton Iriz yang berada di dalam segmen A+ lengkap dengan enam beg udara, X-Trail 2015 hanya sekadar dilengkapi dua beg udara.

Walaupun dengan dua beg udara, X-Trail dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan elektronik seperti ABS, EBD, BA, Kawalan Dinamik Kenderaan, Kawalan Casis Aktif, Bantuan Mula Daki dan poin Isofix.

Kekurangan dua beg udara ditebus dengan spesifikasi lengkap tersebut.

Dalam mengisi tahun-tahun berikutnya X-Trail dikemaskan dengan pelbagai edisi istimewa dan pada masa sama CR-V dan CX-5 baharu dilancarkan lengkap berteknologi tinggi dan terbaru Proton X70 yang menerima sambutan hangat.

Setelah dua tahun dipasaran, X-Trail facelift dilancarkan di Eropah dan terakhir kami laporkan pada Februari lalu apabila SUV ini dilancarkan di Thailand.

Akhirnya X-Trail tiba di pasaran tanah air apabila dilancarkan pada April lalu. Kali ini X-Trail hadir lengkap dan lebih gah untuk bersaing dengan Honda CR-V.

Berikut ialah varian dan spesifikasi utama Nissan X-Trail facelift:

Varian dan harga: 2.0L Hybrid (RM159,888), 2.5L 4WD (RM153,888), 2.0L 2WD MID (RM145,888), 2.0L 2WD (RM133,888).

Beg udara: 2.0L 2WD (empat), 2.0L 2WD MID, 2.5L 4WD, 2.0L Hybrid (enam).

Teknologi keselamatan:

  • Intelligent Forward Collision Warning (FCW) *
  • Intelligent Forward Emergency Braking (FEB) *
  • Intelligent Cruise Control (ICC) *
  • High Beam Assist (HBA)*
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Blind Spot Warning (BSW)
  • Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Motion Activated Power Tailgate (yang diaktifkan dengan pergerakan mudah di bawah pintu belakang untuk membuka dan menutupnya)

Untuk 2.5L 4WD & 2.0L Hybrid sahaja

Dari bahagian luar, X-Trail facelift kemas dan segar dan di kala pesaing seperti CR-V dan CX-5 cenderung ke arah gaya urban, X-Trail kekal matang melalui gabungan gaya utilitarian iaitu DNA asal sebuah SUV.

Bahagian depan SUV ini menarik dengan gayaan V Motion manakala sisi pula dibekalkan roda aloi corak baharu saiz 17 inci. Bahagian belakang pula turut selari dengan model-model baharu Nissan melalui corak lampu berbentuk V atau bumerang.

Menjengah ke bahagian dalam, anda akan disambut dengan kerusi Zero Gravity kebanggaan Nissan. Kerusi Zero Gravity ini diinspirasi daripada teknologi penerbangan angkasa lepas untuk memberikan keselesaan terutama sekali apabila memandu jauh.

Dari segi reka bentuk, papan pemuka, pelapik pintu dan perkakasan lain nampak kemas dan premium cuma tombol-tombol manual terasa janggal dalam masa pesaing lain sudah pun beralih kepada suis digital.

Mengimbangi peredaran zaman tersebut ialah stereng berbentuk D yang nampak ranggi ala kereta sport.

Dari segi ruang, X-Trail mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan CR-V, CX-3 dan X70 kerana mempunyai tujuh tempat duduk kecuali varian hibrid.

Ada yang rasa kerusi baris ketiga tidak mempunyai fungsi, benar jika anda memuatkan penumpang dewasa namun cukup berguna untuk kanak-kanak supaya tidak dipangku atau berhimpit apabila orang dewasa memenuhi kerusi barisan kedua.

Jadi bagaimana? Mahu beli atau tidak? Berdasarkan pendapat kami jika anda mahukan sebuah SUV dengan tujuh tempat duduk, X-Trail 2.0L 2WD pada harga RM134,000 adalah pilihan berbaloi.

Namun jika anda mahukan pakej yang berbaloi jawapannya terletak pada X-Trail 2.0L 2WD MID berharga RM146,000 yang dilengkapi enam beg udara dan beberapa teknologi keselamatan elektronik.

Jika mempunyai peruntukan lebih, kami syorkan ambil sahaja X-Trail 2.5 2.5L 4WD dengan harga RM153,888 yang dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemanduan canggih.

X-Trail 2.0L Hybrid yang berharga RM159,888 pula untuk pemandu yang mementingkan penjimatan dan ingin merasai teknologi baharu dan berbeza daripada biasa.

Melalui pelbagai tawaran ini ETCM benar-benar serius dalam meneliti model pesaing bagi mencorakkan apa yang dimahukan dan mengetengahkan teknologi baharu untuk perhatian pelanggan.

Persaingan segmen SUV kelas C seperti X-Trail ini memang sengit dengan harga yang tidak jauh berbeza daripada satu sama lain.

Kesemua model tersebut mempunyai kekuatan tersendiri dan apabila teknologi diambil kira dan hampir mirip, X-Trail menonjol melalui ruang dan jumlah tempat duduk. Ini satu ciri yang tidak wajar diabaikan jika anda sedang berkira-kira untuk memiliki sebuah SUV.

Tahniah diucapkan kepada ETCM dan kami ternanti-nanti pakej yang bakal dilengkapi pada Kicks, Almera dan Sylphy apabila dilancarkan satu persatu bermula tahun depan, pasti menarik!

GALERI:

Google ads
Back to top button