Buletin

PADA 2015 HONDA JADE DIPERKENAL DI JEPUN, GANTI STREAM

Satu segmen kereta yang underrated di pasaran global ialah MPV 5+2 tempat duduk atau apakah terma universalnya?

Segmen ini berada di dalam kedudukan unik, di negara Eropah bentuk badan sebegini lebih dikenali sebagai wagon manakala di pasaran sebelah Asia Tenggara pula sebagai MPV.

Lebih menarik apabila disebut wagon, segmen ini kurang mendapat sambutan tetapi berbeza sama sekali untuk MPV seperti Perodua Alza, Honda Stream dan Toyota Wish.

Keunikan jenis badan, bilangan tempat duduk dan penerimaan pasaran yang unik terus membuatkan MPV 5+2 berada di dalam segmen tersendiri.

Atau mungkin pasaran global harus mempunyai satu nama universal untuk MPV jenis ini. Wagon atau MPV, hanya guna satu identiti sama seperti SUV.

Salah satu wagon atau MPV 5+2 import yang terkenal di pasaran tempatan ialah Honda Stream.

Model ini mempunyai dua generasi yang dipasarkan di pasaran tempatan dan Honda Malaysia Sdn. Bhd. pernah menawarkan Stream generasi kedua pada harga sekitar RM150,000.

Stream tamat setakat itu sahaja dan adakah terdapat model sambungan lain?

Penawaran Stream diteruskan Honda dengan nama baharu dikenali sebagai Jade. Model ini sebenarnya dibangunkan khusus untuk pasaran China dan dilancarkan pada tahun 2013.

Berbeza dengan Stream, Jade mempunyai konfigurasi lima atau enam tempat duduk sahaja.

Eksklusiviti Jade untuk pasaran China sahaja berubah pada 12 Februari 2015 apabila Honda mengumumkan penawaran Jade ke pasaran Jepun.

MPV enam tempat duduk ini ditawarkan dengan teknologi canggih seperti Honda SENSING dan enjin Honda Sport Hybrid i-DCD.

Di Jepun, Honda Jade diklasifikasikan sebagai van mini dan bukan MPV atau wagon.

Sebelum itu kenapakah Honda tidak meneruskan penggunaan nama Stream? Tidak dapat dipastikan kecuali batu permata jed mempunyai kedudukan tersendiri di kalangan masyarakat di China.

Secara rasmi Honda memaklumkan Jade adalah lambang kepada kesungguhan pasukan pembangunannya dalam menghasilkan sebuah kereta yang mempunyai kecantikan seperti permata dengan nilai berkekalan dan memenuhi keperluan era baharu.

Berikut ialah ciri-ciri Honda Jade (2015) pasaran Jepun:

  • Dua jenis varian iaitu Hybrid dan Hybrid X
  • Enjin 1.5L Suntikan Terus DOHC i-VTEC i-DCD tujuh kelajuan
  • Penggunaan minyak 25.0km/l (mod JC08)
  • Kerusi belakang jenis kapten (terpisah di antara dua)
  • Menggunakan tema depan Solid Wing Face
  • Ciri-ciri keselamatan seperti LaneWatch™, Bantuan Penstabilan Kenderan, Bantuan Daki Mula dan Isyarat Pemberhentian Kecemasan
  • Jade Hybrid dipasarkan pada harga JPY 2,720,000, Hybrid X pada harga JPY 2,920,000

Selain China dan Jepun, ada sebuah lagi negara yang ditawarkan MPV pengganti Stream ini.

Jawapannya ialah Malaysia dan anda boleh milikinya melalui pengimport bebas pada harga sekitar RM130,000.

Menariknya Jade yang dibawa ke dalam negara dikuasakan oleh enjin 1.5l VTEC Turbo sama seperti Civic generasi kesepuluh.

Tags
Google ads
Back to top button