Buletin

PERLUMBAAN PALING MENYERAMKAN –ROSSI

Sepanjang 25 tahun beraksi dalam sukan pemotoran, Valentino Rossi melalui pelbagai situasi mencabar dan merbahaya.

Begitupun, perlumbaan Grand Prix Austria melakar detik paling menyeramkan dalam karier legenda Itali ini.

Pelumba 41 tahun itu hanya beberapa inci daripada terlibat dalam malapetaka yang boleh meragut nyawanya.

Franco Morbidelli dan penunggang Johann Zarco berlanggar pada kelajuan hampir 300 km/j  hanya beberapa saat sebelum pelumba mengambil selekoh di Spielberg pada pusingan kelapan.

Kemalangan melibatkan dua pelumba tersebut menyaksikan jentera melayang ke udara.

Bahkan, jentera Yamaha Morbidelli seberat 157 kg melayang hampir terkena Rossi dan Maverick Vinales.

“Ia sangat menakutkan, ia menyeramkan. Saya sangat takut kerana hari ini sangat berbahaya,” kata Rossi selepas perlumbaan.

Juara dunia sembilan kali itu mengakui sangat sukar kembali ke litar dan fokus memulakan semula perlumbaan.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan tetapi perlu terus menghabiskan perlumbaan.

“Anda cuba tidak memikirkannya tetapi ia sangat sukar dilakukan selepas insiden tersebut,” ujarnya.

Rossi berjaya mengawal dirinya dan selepas perlumbaan bersambung dia berjaya meraih kedudukan kelima. – agensi

Google ads
Back to top button