Motosikal

ROSSI SAH SERTAI PETRONAS YAMAHA SRT. KONTRAK 2 TAHUN SEHINGGA 2022

Juara dunia MotoGP sembilan kali, Valentino Rossi memberitahu bahawa dia bersetuju untuk menyertai pasukan Petronas Yamaha SRT dengan kotrak selama dua tahun.

Pengumuman rasmi akan dibuat pada pusingan pembuka tirai musim 2020 di litar Jerez minggu depan. 

Sejak beberapa bulan lalu, Rossi sering dikaitkan dengan pasukan satelit dari Malaysia itu kerana peluang untuk dia menguji kemampuan diri serta jentera Yamaha M1 2020 terjejas berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. 

Sebelum ini, Rossi menyatakan dia memerlukan masa dan berlumba beberapa pusingan dalam musim ini sebelum membuat keputusan mengenai masa depan kerjayanya. 

Kini, Rossi seakan-akan sudah mengesahkan bakal mewakili pasukan Petronas Yamaha SRT sehingga penghujung musim 2022 pada usia 43 tahun, sekali gus menggantikan pelumba muda sensasi, Fabio Quartararo. 

Bos Yamaha, Lin Jarvis menyatakan sokongan penuh kepada Rossi sekiranya dia mahu terus berlumba apabila berkata ruang dan peluang sentiasa terbuka buat pelumba legenda itu.

“Ketika kami yakin dengan kemampuan dan kepantasan Rossi untuk musim ini, pada masa sama Yamaha juga perlu mempunyai perancangan untuk masa depan. Dengan enam jentera pasukan pengeluar di kelas MotoGP, khidmat pelumba muda menjadi keutamaan.

“Memang agak pelik apabila Rossi tidak bersama pasukan pengeluar pada 2021, tetapi Yamaha masih bersamanya dan melihat apa saja keputusan demi masa depannya,” katanya.

Prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali sebelum ini berkata, hanya dua krew Rossi akan dibenarkan menyertai pasukan itu. Sementara krew lain bakal bekerja dengan Quartararo yang menggantikan tempat Rossi dalam pasukan pengeluar, Yamaha MotoGP. – Harian Metro

Google ads
Back to top button