Motosikal

ROSSI MASIH BOLEH BERLUMBA 3-4 TAHUN LAGI – GRAZIANO

Antara soalan cepu emas yang berlegar berkaitan masa depan pelumba lagenda, Valentino Rosi dalam saingan MotoGP ialah pasukan mana yang akan dia sertai dan berapa lama lagi Rossi boleh berlumba.

Dengan usia mencecah 41 tahun, ramai melihat Rossi tidak lagi kompetitif berbanding pelumba-pelumba yang jauh lebih muda.

Apabila pasukan factory Yamaha mengumumkan Rossi tidak lagi tersenarai, sebaliknya memilih pelumba muda sensasi Fabio Quartararo, masa depan karier Rossi dilihat sedikit terumbang-ambing.

Sebelum ini, The Doctor menjelaskan bahawa dia akan terus berlumba jika berasa masih kompetitif. Musim lalu, Rossi kecewa dengan masalah tayar dan akan menggunakan 6 hingga 7 perlumbaan tahun ini untuk menimbang tawaran Yamaha untuk pergi ke pasukan satelit Yamaha SRT pada tahun depan atau bersara.  

Namun, penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia telah mengubah rancanagn tersebut. Rossi kini terpaksa menerima hakikat bahawa dia perlu membuat keputusan menegnai masa depannya sebelum terlibat dalam mana-mana perlumbaan pada tahun ini.

Ramai yang tertanya-tanya adakah juara dunia 9 kali itu akan terus berada di grid, ketika perlumbaan musim ini mungkin hanya berbaki 10 hingga 12 pusingan sahaja.

Justeru, timbul persoalan berapa lama lagi Rossi akan berlumba. Bapanya yang juga bekas juara Grand prix, Graziano Rossi berpendapat anaknya masih boleh terus berlumba sehingga empat tahun lagi, sampai dia berusia 46 tahun.

“Pada pendapat saya, dia masih boleh berlumba untuk dua, tiga atau mungkin empat tahun lagi. Dia memang tidak mahu berhenti berlumba sekarang atau setahun lagi. Ini saya pasti.

“Saya yakin Valentino masih seorang pelumba yang kompetitif dan boleh menag jika berada dalam kondisi yang betul. Jika keadaan sekarang yang kalendar perlumbaan menjadi lebih pendek, pelumba berpengalaman diperlukan, ini akan menjadi peluang terbaik untuk Valentino,” jelas Graziano.

Ketika pelumba seperti Cal Crutchlow, Johann Zarco dan Quartararo sudah begitu hampir, namun belum ada pelumba pasukan satelit Yamaha pernah memenangi perlumbaan MotoGP.  

Jadi, tekanan yang bakal dipikul oleh Rossi sangat tinggi untuk memberi kemenangan kepada pasukan satelit Yamaha. Mampukah dia melunaskannya?

Google ads
Back to top button