
INI YANG AKAN TERJADI JIKA PARKIR DI DEPAN PILI BOMBA. JANGAN PENTINGKAN DIRI SENDIRI
Jangan parkir kenderaan di hadapan pili bomba. Ini merupakan undang-undang meletak kenderaan paling jelas perlu dipatuhi sepanjang masa.
Bahkan, anda berdepan menerima saman, kenderaan ditunda malah boleh mengakibatkan cermin sisi kenderaan dipecahkan pihak bomba jika berlaku kebakaran.
Menurut New York Post, sebuah BMW 5 series yang parkir di hadapan pili bomba bandar New York telah menghalang tugas pasukan Bomba dan Penyelamat Bronx dalam memadam kebakaran melibatkan bangunan tiga tingkat di kawasan berkenaan.
Berikutan sikap pentingkan diri pemandu berkenaan, ia menyukarkan pasukan bomba melakukan tugas mereka.
Kalau hendak memanggil trak penunda mengambil masa malah menggerakkan kenderaan merupakan perbuatan sia-sia dalam keadaan kecemasan itu.
Pendekatan paling mudah dan menjimatkan masa, pecahkan cermin sisi hadapan di bahagian pemandu serta penumpang.
Masukkan hos kebakaran melalui cermin berkenaan dan mulakan tugas pemadaman serta menyelamat.
Dalam pada itu, pemandu kenderaan berang dengan tindakan tersebut.
Difahamkan, jentera BMW diparkir sejak beberapa hari lalu kerana kunci kawalan jauh kehabisan bateri.
Apapun alasan diberikan pemandu berkenaan, salah tetap salah dan dikenakan saman kerana parkir di hadapan pili bomba.
Dalam kejadian tersebut, kebakaran dapat dikawal dalam tempoh dua jam dan tiada kemalangan jiwa.
Pihak Bomba dan Penyelamat menjalankan tugas mereka untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda walaupun terpaksa memecah cermin kenderaan yang jelas menyalahi undang-undang. – agensi.