Motosikal

INI PERKARA YANG PALING DIRINDUI ROSSI APABILA BERSARA NANTI!

Sudah sedia maklum bahawa 2020 atau 2021 mungkin akan menjadi musim terakhir buat pelumba veteran pasukan factory Yamaha Racing, Valentino Rossi berada dalam kancah MotoGP. 

Pada usia 41 tahun, Rossi merupakan antara lagenda dalam perlumbaan MotoGP. Biarpun keputusan yang dicatat sepanjang musim lalu kurang memberangsangkan, pasukan factory Yamaha masih membenarkan uncle ini berlumba sebelum tempatnya digantikan dengan pelumba muda, Fabio Quantararo. 

Jadi, selepas begitu lama dalam sukan ini, apakah agaknya perkara yang akan dirindui oleh Rossi jika tidak lagi berlumba nanti? Korang rasa apa? Adakah umbrella girl atau rindu nak bergaduh dengan Marq Marquez? 

“Biasanya sebelum berlumba, saya akan bercakap dengan jentera lumba. Beritahu dia selepas ini, hanya ada dia dan saya untuk naik ke podium. Jadi dia perlu bantu saya untuk mendapatkan mata. Dia tak pernah menjawab, tetapi saya sangat percaya dia dengar. Kalau dia menjawab, saya langsung tidak akan terkejut! 

“Apabila bersara nanti, inilah perasaan yang akan paling saya rindui, momen-momen sebelum memulakan perlumbaan. Adrenalin dan keinginan untuk berlumba dengan baik bercampur bersama perasaan takut melakukan kesilapan merupakan rasa yang tidak boleh dilupakan. 

“Kebanyakan pelumba berlumba hanya kerana keterujaan ketika berada di atas litar. Tetapi perasaan bimbang semakin ketara sebaik sahaja perlumbaan Moto2 bermula. Anda akan rasa takut kerana selepas itu, giliran anda pula untuk berlumba. 

“Kemudian, apabila lampu hijau menyala, anda mula berlumba dan masuk ke dalam satu dimensi yang lain,” kata Rossi. 

Dengan banyak jadual MotoGP tertangguh akibat penularan COVID-19 yang kian membarah di Eropah, kalendar terkini musim 2020 pasti berubah. Masa semakin suntuk dan pembatalan pasti tidak dapat dielakkan. 

Jadi, penganjur hanya ada dua pilihan. Terima sahaja jumlah perlumbaan yang sedikit atau pecahkan tradisi dengan mengadakan dua perlumbaan di beberapa lokasi/pusingan untuk mencukupkan 20 saingan.

Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku nanti.   

Google ads
Back to top button