
PERODUA LANCAR P-CIRCLE: PLATFORM SUPER APP UNTUK GAYA HIDUP DIGITAL
Perodua kini melangkah lebih jauh dalam transformasi digitalnya dengan memperkenalkan super app baharu yang dinamakan P-Circle.
P-Circle adalah satu platform sehenti yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan mobiliti dan gaya hidup dalam talian di bawah satu aplikasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, berkata pelancaran P-Circle menandakan langkah penting syarikat itu ke arah konsep Mobility as a Service (MaaS), di mana mobiliti bukan sekadar pengangkutan, tetapi sebahagian daripada gaya hidup moden.

“P-Circle direka untuk menjadi pusat sehenti kepada pelanggan kami, bukan hanya untuk urusan kenderaan, tetapi juga bagi memenuhi keperluan kehidupan digital mereka. Ia sejajar dengan visi kami untuk ‘Go Beyond’ dan terus berinovasi dalam dunia yang semakin terhubung,” jelas beliau.
Antara ciri utama aplikasi ini ialah P-Duit, perkhidmatan e-dompet yang membolehkan pengguna melakukan transaksi dengan mudah, termasuk bayaran di stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) melalui kerjasama dengan pengendali pengecas tempatan.
Perodua turut memperkenalkan P-Vehicle, modul khas untuk model EV pertamanya yang akan datang.

Melalui modul ini, pengguna boleh mengawal fungsi asas kenderaan seperti penyaman udara, enjin, dan pengesanan lokasi secara jarak jauh.
Selain itu, P-Circle juga menampilkan pelbagai ciri gaya hidup lain seperti:
- P-Reward – Program kesetiaan dengan ganjaran mata yang boleh ditebus.
- P-Health – Jam pintar yang memantau tahap kesihatan pengguna.
- P-Charge dan P-Charge Mobile – Penyelesaian pengecasan rumah dan mudah alih bagi EV.
- P-Marketplace – Platform jual beli alat ganti dan aksesori rasmi Perodua, dengan rancangan untuk membuka ruang kepada penjual sah lain pada fasa kedua.
- P-Chat – Forum komuniti pemilik Perodua untuk berkongsi tip dan pandangan automotif.
- P-Entertainment – Platform penstriman dengan kandungan tempatan eksklusif.
- P-Home – Sistem kawalan rumah pintar yang boleh disambungkan dengan jam pintar atau telefon.

Ciri lain termasuk P-Calendar, P-Map, dan P-Checkin, melengkapkan pengalaman pengguna yang ingin menguruskan kehidupan dan perjalanan mereka secara digital.
“Kami mahu menjadikan pengalaman pemilikan kenderaan lebih mudah, tersusun dan menyeronokkan – dari membeli alat ganti hingga mengawal rumah, semuanya boleh dilakukan melalui satu aplikasi,” kata Dato’ Sri Zainal lagi.

Aplikasi P-Circle kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, manakala peranti tambahan seperti pengecas mudah alih dan jam pintar boleh didapati di semua Pusat Servis Perodua di seluruh negara.
- BACA: LAMBORGHINI AMBIL MASA 27 TAHUN UNTUK CATAT REKOD 0 KE 200 MPH – INGAT SENANG KE NAK CIPTA SEJARAH
- BACA: ULANG TAHUN PERKAHWINAN KE 70 DI SAMBUT DENGAN PORSCHE 911 GT3 – INI BARU KAKI KERETA SEJATI
- BACA: SELAMAT JALAN VOLVO V90 – SETIAP YANG BERMULA PASTI AKAN BERAKHIR
- BACA: PROTOTAIP FUTURISTIK YAMAHA DENGAN TIGA RODA – NAK BAYAR CUKAI JALAN KERETA KE MOTOSIKAL NI?








